Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan saingan Badminton Celcom Axiata Terbuka Malaysia dibatalkan.

Pengumuman itu dibuat oleh BWF di laman sesawang mereka serta mengumumkan jadual baharu kalendar 2022.

Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2021 pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 25-30 Mei di Arena Axiata, Bukit Jalil susulan peningkatan kes COVID-19.

Sementara itu BWF mengumumkan bahawa Terbuka Malaysia tahun hadapan dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai, diikuti dengan Masters Malaysia 5-10 Julai.

Mengikut kalendar yang dikeluarkan itu, musim 2022 bermula di India dengan tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka India dari 11-16 Jan, Antarabangsa India Syed Modi (18-23 Jan), Terbuka Odisha (25-30 Jan), dan All England pada 16-20 Mei.

Saingan Piala Thomas dan Piala Uber 2022 akan berlangsung dari 8-15 Mei di Bangkok, Thailand dan Kejuaraan Dunia dijadual diadakan di Jepun dari 21-28 Ogos, manakala musim 2022 akan ditutup dengan Jelajah Dunia BWF Akhir yang akan berlangsung 14-18 Dis di Guangzhou, China.

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund berkata, kalendar tahun hadapan mempunyai beberapa kejohanan kluster yang dirancangkan, bagi mengurangkan kesukaran masalah pergerakan antara negara.

“Sudah tentunya kejohanan pada 2022 akan mengenakan arahan keselamatan BWF. Bagaimanapun BWF berharap perubahan secara beransur-ansur dalam melaksanakan kejohanan dengan pengurangan sekatan COVID-19, pada ketika secara perlahan-lahan kembali kepada keadaan normal dengan pengurangan sekatan dalam penganjuran acara antarabangsa,” katanya

 

- Advertisement -