Oleh Muhammad Aiman
Mereka sepatutnya berbangga untuk mendapat peluang beraksi di kejohanan bertaraf dunia, berdiri sebaris atlet yang mungkin akan bergelar ‘the next Ussain Bolt’, berjuang membawa nama negara di pentas tertinggi yang pastinya pengalaman sukar dicari ganti dan kemungkinan besar peluang yang tidak akan datang kembali selepas ini.
Peluang itulah yang dilepaskan oleh dua pelari pecut meningkat naik, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan yang layak secara merit untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 yang akan berlangsung di Poland pada Julai depan tetapi memilih untuk mengambil bahagian di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.
Semuanya gara-gara pertindihan tarikh antara dua pertandingan itu di mana Kejohanan Dunia dijadual akan berlangsung di Bydgoszcz dari 19-24 Julai manakala SUKMA pula mengambil tempat dari 22-31 Julai depan.
Namun kewajaran mereka mengorbankan peluang keemasan yang didamba kebanyakan atlet untuk beraksi dan memburu pengiktirafan di kejohanan dunia nyata mengundang persoalan.
Kalau pertindihan tarikh menjadi satu isu, kenapa yang dikorbankan adalah kejohanan dunia dan bukannya SUKMA? Apakah atlet kita lebih berbangga untuk bergelar jaguh kampung dan belum bersedia untuk melangkah lebih jauh ke depan?
Bila diajukan soalan ini, presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim secara berseloroh berkata, “Kalau pergi kejohanan dunia belum tentu boleh pergi jauh, masuk SUKMA mereka menang dapat duit,” tetapi adakah itu jawapan konkrit kepada persoalan tersebut?
Apakah KOM mengajar atlet mereka untuk bersikap materialistik berbanding mencari gemilang buat negara, atau semangat kesukanan dalam diri atlet semakin terhakis sehingga mereka meletakkan duit melebihi keinginan untuk menyerlahkan potensi diri di peringkat lebih tinggi?
Jika mereka gagal melangkah jauh sekalipun di kejohanan dunia, bukankah ia tetap menjadi satu medan menimba pengalaman buat mereka? Bersaing bersama pelari-pelari remaja dari Jamaica, Kenya, Uganda ataupun negara kuasa besar olahraga yang lain.
Kali ini, Karim tampil dengan jawapan lebih serius, “Kalau diberi pilihan, sudah tentu saya mahu Badrul dan Khairul beraksi di Poland, ia satu kerugian buat mereka. Kejohanan Remaja Dunia adalah pertandingan tertinggi bagi kategori umur mereka, tahun depan belum tentu mereka dapat peluang ini lagi, Badrul sudah 19 tahun manakala Khairul 18 tahun.
“Tapi bukan KOM yang buat keputusan untuk hantar mereka beraksi di Kejohanan Dunia ataupun SUKMA. Ia keputusan persatuan negeri yang mahu guna khidmat atlet terbaik mereka. Persatuan negeri berbelanja untuk latihan dan pembangunan atlet, jadi mereka ada hak untuk putuskan, KOM tidak boleh masuk campur. Kalau bukan kerana pertindihan tarikh, mereka sudah tentu mengambil bahagian di kedua-dua pertandingan.”
Bagi yang kurang mengenali mereka, Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz, merupakan dua atlet kelahiran Melaka dan kedua-duanya pantas mencipta nama dan mencuri tumpuan setelah berterusan menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu dan ketika ini sudahpun mengesahkan kedudukan sebagai pelari pecut utama negara, pada usia begitu muda.
Khairul Hafiz meletakkan nama Malaysia dalam radar olahraga dunia apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia manakala Badrul paling diingati setelah catatan masa 10.29s yang dilakukannya di Brunei hampir sahaja meleburkan rekod kebangsaan berusia 17 tahun milik Watson Nyambek.
Justeru, ianya cukup mengecewakan apabila kelibat dua atlet ini tidak dapat disaksikan mengintai kemasyuran di bumi Poland tahun ini, dan dalam masa sama tidak hairanlah Majlis Sukan Negeri Melaka begitu keberatan untuk melepaskan dua prospek pingat emas mereka ini.
“Di waktu akan datang, saya akan usulkan, minta pihak jawatankuasa SUKMA lebih peka dengan kalendar sukan antarabangsa. Lihat secara menyeluruh pastikan tidak bertindih dengan apa-apa kejohanan lain.
“Ini kita lihat ada yang bertindih dengan olimpik, ada yang bertindih dengan kejohanan antarabangsa lain. Kalau mereka (jawatankuasa SUKMA) lebih peka, situasi seperti ini boleh dielak. Bila situasi ini terjadi, keputusan perlu dibuat dan kadangkala keputusan itu merugikan pembangunan atlet,” kata Karim kepada www.sports247