Tindakan kurang professional Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menamatkan kontrak pemain secara âpra-matangâ sejak kebelakangan ini nampaknya sudah mula kurang disenangi oleh para pemain yang menjadi mangsa.
Jika pada awalnya semua nampak lancar ketika Shukri Abd Hamid, Tengku Qayyum Ubaidillah, Norfarhan Mohamad, Ferdinand Sinaga, Syafiq Rahman dan beberapa pemain muda lain ditamatkan kontrak, isu mula menjadi panas sejak S.Veenod membidas tindakan menggugurkan namanya tanpa sebarang rundingan.
Veenod ketika itu tidak dibenarkan menyertai latihan kerana dimaklumkan namanya sudah digugurkan dan tiada dalam perancangan, pemain itu yang terkejut menyatakan KAFA tidak professional dan bersedia mengambil tindakan undang-undang.
Ketika itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan melatah menyalahkan Veenod kerana terburu-buru membuat kenyataan media dan tidak menghormati kontrak sedangkan KAFA yang memulakan trend singkirkan pemain menerusi laporan media. Â Â Â Â
Ia kemudian disusuli oleh kelantangan Bruno Lopes pula bersuara menyatakan Bibi Ramjani sebagai presiden yang tidak boleh dipercayai dan sehingga kini Bibi membisu tanpa memberi sebarang maklumbalas berhubung dakwaan itu malah cubaan Sports247 mendapatkan reaksinya juga gagal kerana Bibi hanya memberi kenyataan kepada media terpilih yang hanya menulis benda positif mengenainya.
Malah dia juga tidak bersikap profesional dalam menjawab pertanyaan wartawan dan emosional, cuba menyalahkan pihak lain yang tiada kena mengena walhal semua kemelut berpunca dari kekhilafan sendiri di dalam mengurus pasukan.
Lebih memalukan, Bibi menyatakan penulisan negatif oleh pihak media telah menjatuhkan maruah dan imejnya, selain mempersoalkan bagaimana media boleh menulis keluhan Bruno tanpa bertanya kepadanya. Dia juga mengugut akan âblockâ wartawan yang cuba mendapatkan kenyataan balas berhubung isu tersebut â kelakar bukan?
Bibi Ramjani mungkin belum faham bahawa media bukannya âlembu dicucuk hidungâ yang menulis berita-berita khusus untuk menggembirakan hatinya, media adalah mereka yang menulis sesuatu yang benar dan dia perlu belajar untuk menerima kritikan tersebut. Â
Terbaru minggu lalu, penjaga gol kebangsaan yang kaya dengan pengalaman, Khairul Fahmi Che Mat serta kapten yang berkhidmat selama berbelas tahun dari zaman Kelantan menjulang Piala FAM, Badhri Radzi pula dikatakan tiada dalam perancangan jurulatih, Fajr Ibrahim.
Malang sekali, dua pemain itu hanya mengetahuinya menerusi laporan media dan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum kenyataan itu dikeluarkan Bibi Ramjani.
Kenyataan bahawa khidmat Apek tidak diperlukan keluar sehari selepas laporan media mendedahkan Kuala Lumpur berminat mendapatkan penjaga gol berusia 29 tahun itu â adakah ini bermakna puan presiden sebenarnya  sekadar bertindak balas kepada laporan media tanpa berfikir panjang terlebih dahulu?
Beban kewangan menjadi alasan kukuh akan rasionalnya tindakan itu, tetapi adakah ini cara yang betul untuk puan presiden menunjukkan penghormatan kepada dua pemain paling lama di dalam skuad? Sebelum keluarnya laporan mengatakan KL berminat dengan Khairul Fahmi, tiada kedengaran pula dia mahu disingkirkan.
Sebelum aksi menentang Negeri Sembilan, enam pemain Piala Presiden telah direkrut ke skuad senior dan empat daripadanya bermain dalam kesebelasan utama, ketika itu tiada pula kedengaran Badhri mahu disingkirkan.
Semua keputusan dibuat terburu-buru, tanpa perbincangan, tanpa perancangan â niat Bibi mengeluarkan wang sendiri untuk menaikkan semula bolasepak Kelantan memang wajar diberikan pujian, tiada siapa menyangkal usaha murni itu.
Namun, jika beban kewangan berterusan ditekankan sebagai alasan utama, bukankah Bibi Ramjani sudah sedia mengetahui liability kewangan KAFA dan hutang berjuta ringgit ditanggung persatuan itu sejak sebelum dia mengambil alih pucuk pimpinan?
Bukankah dia sendiri sedar jika berjaya memenangi kerusi presiden, maka segala hutang dari tunggakan gaji sehinggalah kepada pelbagai perkara lain yang melibatkan wang ringgit sudah jatuh di bawah tanggungjawabnya? Bukankah dia sendiri menyatakan kesediaan menanggung semua itu tanpa didesak oleh sesiapa malah menjanjikan untuk mendapatkan tajaan dari tiga syarikat gergasi jika dipilih menjadi presiden.
Dari seorang peniaga batik yang berjaya, berstatus jutawan, dia sendiri yang memilih âhulur kepalaâ dalam arena bolasepak yang sangat asing baginya â tidak disuruh oleh sesiapa. Dari seorang yang hidup senang tanpa sebarang tekanan, kini setiap hari habiskan masa memikirkan bagaimana hendak mencari jutaan ringgit untuk menampung kos operasi pasukan. Â
Dan sekali lagi, jika beban kewangan adalah puncanya, Kelantan sebenarnya tidak perlu membawa masuk hampir 40 pemain ketika pra-musim.
Tidak perlu ada pemain bergaji berpuluh ribu sejak dari awal, tidak perlu mengambil sehingga lima import sekadar memenuhi kuota ditetapkan, tidak perlu bawa Mohamed Ghaddar sebagai pengganti Morgaro Gomis yang cedera, tidak perlu meletakkan Sathit Bensoh sebagai jurulatih untuk tiga aksi pertama dan kemudian membuat rombakan besar hanya selepas lima aksi pertama Liga Super. Â Â
Indeks Petunjuk Prestasi perlu ditetapkan dari awal bukannya di sepertiga musim atau separuh musim. Membina pasukan setelah melihat kekuatan kewangan yang ada bukannya melihat kekuatan kewangan selepas pasukan telah dibentuk.
Pemain yang disingkirkan bukannya tidak boleh terima hakikat mereka tidak lagi diperlukan â apa yang mengecewakan mereka adalah bagaimana perkara itu ditangani. Beginikah cara anda menghargai sumbangan, keringat dan jasa yang telah dicurahkan?
Sepatutnya rundingan diadakan terlebih dahulu, dengan pemain yang terlibat, capai kata sepakat, kemudian baru keluarkan kenyataan. Di Chelsea, John Terry meskipun bukan pemain utama dan tiada dalam perancangan pengurus pada musim terakhirnya (2017), dia tetap diturunkan selama 26 minit dan memakai lilitan lengan selaku kapten ketika menentang Sunderland sebagai satu pengiktirafan buatnya.
Bagaimana mereka boleh harapkan penulisan positif dari media jika berterusan menunjukkan contoh yang negatif. Belum reda satu isu, timbul isu yang lain seolah sinetron Indonesia yang tiada kesudahan.
Sehingga kini, masih menjadi satu persoalan, apakah KAFA mempunyai individu yang benar-benar arif mengenai pentadbiran bolasepak. Malah, pelbagai pihak termasuk persatuan bekas pemain sendiri telah banyak memberikan nasihat dan pandangan tetapi ia tidak pernah digunapakai.
KAFA tidak boleh terus bersikap âbodoh sombongâ, belajarlah untuk berubah untuk kebaikan.