Kuala Terengganu yang menjadi lokasi penginapan awal menjelang bermula edisi ke-27 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) Peringkat 1 Kerteh-Kuala Terengganu Sabtu ini, mula merasai bahang dengan kehadiran lebih ramai pelumba dan krew pasukan, sejak semalam.
Walaupun cuaca pada sebelah pagi hari ini agak dingin kerana dibasahi hujan renyai, ia tidak mengganggu beberapa pasukan yang sejak semalam untuk menjalani rutin keluar berkayuh secara ringan demi mengekalkan kecergasan.
Suasana basah itu bagaimanapun bertukar mendung menjelang tengah hari dan lebih ramai pelumba dilihat keluar berkayuh pada sebelah petang.
Antara pasukan yang tiba lebih awal ialah pasukan berstatus Continental dari Korea Selatan, KSPO dan Hengxiang Cycling Team; manakala Li Ning Star; 7-Eleven Cliqq-Air2; dan skuad kebangsaan Malaysia mendaftar masuk pada sebelah pagi.
Pasukan yang tiba pada tengah hari pula adalah EF Education-EasyPost; Giant Cycling Team; Thailand Continental Team; JCL Team Ukyo dari Jepun; dan Roojai Online Insurance dari Thailand.
Suasana di kedua-dua buah hotel penginapan pelumba dan pasukan iaitu Hotel Permai dan Hotel Primula juga semakin sibuk dengan kehadiran beberapa lagi pasukan yang menaiki sebuah penerbangan sewa khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pada sebelah malam.
Antara yang tiba adalah Astana Qazaqstan; Caja Rural; Euskaltel-Euskadi; Team Corratec-Selle Italia; Tudor Pro Cycling Team dan Equipo Kern Pharma.
Esok, majlis pengenalan pasukan dan pelumba akan diadakan pada sebelah malam di Taman Panoramik Kuala Terengganu, sebelum bermula Peringkat 1 di pekarangan Mesra Mall di Kerteh ke garisan penamat di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu sejauh 187.4km, pada keesokan harinya.
Ada tiga zon pecutan bagi peringkat pertama ini iaitu di Dungun, Ajil dan Tok Jamal serta dua zon pendakian kategori 4 (KOM4) di Jerangau dan Sekayu yang menjadi medan pemburuan awal buat pelumba menguasai empat jersi utama yang menjadi rebutan.
Jersi yang menjadi buruan bagi edisi ke-27 ini adalah jersi hijau PETRONAS bagi pendahulu keseluruhan (GC); jersi oren KBS (Raja Pecut); jersi polka dot Tourism Malaysia (Raja Bukit) dan jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Tourism Terengganu.
Ini adalah kali pertama bagi Kerteh yang pernah menjadi lokasi penamat pada LTdL 2020, diilih sebagai lokasi permulaan sepanjang sejarah penganjuran LTdL sejak 1996.
LTdL 2023 dengan tema ‘Beat The Heat’ dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), bermula Kerteh dan akan berakhir pada 30 September ini di pekarangan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), membabitkan jarak keseluruhan 1,278.1km.
Seramai 131 pelumba dari 22 pasukan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan berstatus ProSeries dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ini, membabitkan dua pasukan WorldTeam; 8 pasukan Proteam; 11 pasukan Continental Team dan pasukan kebangsaan Malaysia.
SENARAI PASUKAN LTDL 2023
BIL. | PASUKAN | KATEGORI | NEGARA DIDAFTARKAN |
1. | ASTANA QAZAQSTAN TEAM | UCI WORLD TEAM | KAZAKHSTAN |
2. | EF EDUCATION-EASYPOST | UCI WORLD TEAM | USA |
3. | CAJA RURAL-SEGUROS RGA | UCI PROTEAM | SEPANYOL |
4. | EQUIPO KERN PHARMA | UCI PROTEAM | SEPANYOL |
5. | EUSKALTEL – EUSKADI | UCIPROTEAM | SEPANYOL |
6. | GREEN PROJECT – BARDIANI CSF – FAIZANE | UCI PROTEAM | ITALI |
7. | TEAM CORRATEC – SELLE ITALIA | UCI PROTEAM | ITALI |
8. | HUMAN POWERED HEALTH | UCI PROTEAM | USA |
9. | TUDOR PRO CYCLING TEAM | UCI PROTEAM | SWITZERLAND |
10. | BOLTON EQUITIES BLACK SPOKE PRO CYCLING | UCI PROTEAM | NEW ZEALAND |
11, | TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | MALAYSIA |
12. | 7ELEVEN CLIQQ – AIR21 BY ROADBIKE PHILIPPINES | UCI CONTINENTAL | FILIPINA |
13. | NUSANTARA CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | INDONESIA |
14. | HENGXIANG CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | CHINA |
15. | LI NING STAR | UCI CONTINENTAL | CHINA |
16. | GIANT CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | CHINA |
17. | ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | AUSTRALIA |
18. | KSPO PROFESSIONAL | UCI CONTINENTAL | KOREA SELATAN |
19. | JCL TEAM UKYO | UCI CONTINENTAL | JEPUN |
20. | ROOJAI ONLINE INSURANCE | UCI CONTINENTAL | THAILAND |
21. | THAILAND CONTINENTAL CYCLING TEAM | CONTINENTAL | THAILAND |
22. | MALAYSIA NATIONAL TEAM | CONTINENTAL | KEBANGSAAN |