mas.open.2016

Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berusaha untuk memastikan setiap perlawanan Celcom Axiata Malaysia Open 2016 sehingga ke final berjalan dengan sebaik mungkin walaupun menghadapi berbagai kesulitan.

BAM menerusi pengurus besarnya Lawrence Chew, dalam sidang media khas petang tadi menjelaskan, pemantauan akan terus dijalankan agar tiada perlawanan ditunda.

“Kerja kerja pembaikan untuk mengatasi masalah kebocoran bumbung stadium. Bukan mudah untuk melakukannya dengan saiz bumbung yang besar. Walau apa sekalipun masalah yang timbul, kami akan atasinya sebaik mungkin agar perlawanan dapat diteruskan dan tidak terganggu sehingga hari Ahad,” kata Lawrence.

Malah Lawrence turut menambah, penyokong akan membanjiri Stadium Malawati jika Datuk Lee Chong Wei beraksi di pentas final ahad ini.

“Bukan sahaja memberi sokongan terhadap Chong Wei, penyokong penyokong tempatan pastinya akan datang untuk menyokong pemain pemain Malaysia yang lain. Mereka sedang berusaha untuk menang dalam setiap perlawanan untuk ke final. Ini adalah perlawanan SuperSeries Premier, bukan GP Emas atau Cabaran KeBangsaan,” tambahnya lagi.

Mengulas tentang keluhan pemain nombor dua dunia, Lin Dan tentang keadaan gelanggang pemanas badan, Lawrence menjelaskan ia bukan perkara wajib yang perlu disediakan seperti yang termaktub dalam undang undang badan induk badminton dunia, BWF.

“Dalam peraturan BWF tiada langsung mengatakan penganjur perlu menyediakan gelanggang pemanas badan, Saya boleh menyediakan 4 gelanggang untuk pertandingan sahaja. Tetapi kami tetap mengambil inisiatif untuk menyediakan separuh gelanggang untuk pemain memanaskan badan. Kami sudah maklumkan ketika mesyuarat bersama pengurusan pasukan. Saya rasa maklumat itu tidak sampai kepada pemain pemain. Pemain yang mengadu mengenai perkara ini mungkin tidak biasa tetapi ini yang terbaik kami boleh lakukan,” katanya.

- Advertisement -