Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan lima pemain digugurkan.

Mereka adalah perseorangan wanita, Soniia Cheah, pasangan bergu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Lai Pei Jing dan Vivian Hoo.

Keputusan dibuat selepas tiga kejohanan yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Januari lalu termasuk penilaian berdasarkan Projek 24.

Berdasarkan bedah siasat yang telah dilakukan, pemain dan jurulatih telah dibentang dan diperincikan tentang kunci petunjuk prestasi (KPI) masing masing.

Dua lagi pemain, Tan Kian Meng dan Yap Cheng Wen diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya dalam BAM namun diberi peringatan yang keras untuk menunjukkan kemajuan.

Barisan kejurulatihan perseorangan lelaki dan wanita juga diminta untuk meningkatkan lagi prestasi pemain pemain kerana sasaran seterusnya ada di Eropah yang akan menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Penilaian seterusnya akan dilakukan selepas selesai kejohanan yang berlangsung di Eropah nanti.

Sesi latihan juga akan diperkemas termasuk meningkatkan lagi latihan mental pemain pemain dimana semua maklumat sepanjang sesi latihan akan direkod dan akan dinilai untuk tindakan lanjut.

Ini juga melibatkan Unit Sains Sukan yang turut diberi KPI untuk membantu dalam menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk semua pihak yang terlibat.

Pelan strategik Projek 24 adalah untuk memfokuskan kecemerlangan selain mewujudkan mentaliti juara dan semangat kenegaraan melibatkan skuad kebangsaan di dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM)

BAM mengucapkan terima kasih kepada pemain pemain yang telah memberikan yang terbaik sepanjang berada dibawah naungan badan induk badminton negara itu.

Dalam perkembangan lain, lapan pemain diserap ke dalam skuad ‘backup’; Wyman Goh, Lee Shun Yang, Shaqeem Eiman bagi perseorangan lelaki manakala perseorangan wanita hanya melibatkan K Letshaana.

Bergu lelaki menyaksikan Yap Roy King, Nurfirdaus Azman Loo Bing Kun dan Lwi Sheng Hao dipilih ke dalam skuad ini manakala Ching Kai Feng (perseorangan lelaki) dan Ooi Jhy Dar (bergu lelaki) turut dilepaskan.

 

- Advertisement -