Oleh Muhammad Aiman
Persoalan mengenai status kontrak jurulatih perseorangan, Hendrawan yang berakhir tahun ini terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan akan menawarkan lanjutan kontrak kepada jurulatih dari Indonesia itu.
Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohd Al Amin Abdul Majid berkata, “Secara prinsipnya kita tawarkan lanjutan kontrak dua tahun kepada Hendrawan, dan juga kepada semua jurulatih lain yang mana kontrak mereka berakhir tahun ini.
“Pengarah Teknikal, (Morten) Frost akan mula berunding dengan mereka dalam sebelum kontrak berakhir untuk mencapai persetujuan terutamanya melibatkan soal gaji.”
Untuk rekod, selain Hendrawan, tujuh jurulatih lain yang kontrak mereka berakhir tahun ini adalah Tey Seu Bock, Jeremy Gan, Pang Cheh Chang, Wong Tat Meng, Rony Agustinus, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty.
“Dalam masa sama kita juga akan membawa masuk beberapa jurulatih baru, cadangan ada dikemukakan dalam mesyuarat C &T dan exco bersetuju. Tetapi kita akan dahulukan yang mana penting, sebagai contoh kita perlukan pengurus pembangunan, jadi kita teruskan manakala bagi kejurulatihan, kita tambah baik ikut keperluan,” tambah Tan Sri Al Amin.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan insentif berjumlah keseluruhan RM1.4 juta daripada BAM kepada skuad badminton olimpik negara di Stadium Juara Bukit Kiara pada Sabtu.
Jaguh perseorangan, Dato’ Lee Chong Wei mendahului senarai penerima insentif BAM dengan ganjaran sebanyak RM250,000, diikuti gandingan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang masing-masing menerima RM375,000 setiap pasangan.
Vivian Hoo, Woon Khe Wei dan Tee Jing Yi pula menerima RM10,000 masing-masing manakala empat jurulatih – Seu Bock, Hendrawan, Jeremy dan Eei Hui – pula dihadiahkan RM30,000 seorang.
Selain kesemua mereka, lima jurulatih lain iaitu Tat Meng, Pek Siah, Ronny, Pei Tty dan Cheh Chang; Morten Frost (pengarah teknikal); dua rakan sparring di Rio De Janeiro Iskandar Zulkarnain dan Tan Kian Meng; Sandra Fiedler dan Fadzil Salleh (fisio), Rebecca Wong (pakar psikologi), Li Dazhi (tukang urut) dan Jerry Gan (juru analisis permainan) turut menerima insentif sebagai menghargai sumbangan mereka.
Menurut Tan Sri Imran, “Kita juga menjemput pemain-pemain junior di BAM untuk hadir pada majlis ini, bukan untuk memeriahkan suasana tetapi kerana mahu mereka mengambil inspirasi dari pemenang-pemenang pingat di olimpik ini, menjadikan pemain-pemain olimpik ini sebagai ikon untuk terus meningkatkan prestasi.
“Kita tunjukkan bahawa, kalau mereka bekerja keras dan mereka mengecap kejayaan, mereka akan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.”