Oleh Muhammad Aiman
Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei disisihkan dari skuad yang akan membawa cabaran di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21-27 Ogos depan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan itu kerana mahu pemain muda yang merupakan bekas juara remaja dunia itu memberi tumpuan kepada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung pada waktu sama dari 19-30 Ogos.
Jin Wei, di sebalik rasa kecewa, menerima keputusan BAM dengan hati terbuka dan berpendapat ini adalah peluang terbaik buatnya mencipta gemilang di temasya terbesar rantau Asia Tenggara itu.
“Ianya lebih baik untuk alihkan perhatian kepada Sukan Sea kerana ia akan berlangsung di tempat sendiri, saya mahu lakukan yang lebih baik dari sebelum ini (Singapura 2015). Saya teruja, saya tidak mahu berpuas hati dengan keputusan sama (gangsa) sekali lagi. Kejohanan Dunia, tidak mengapa tahun depan saya masih boleh ambil bahagian, saya masih muda dan masih belajar,” kata Jin Wei.
Di temasya Singapura 2015, Jin Wei mencuri tumpuan ramai apabila memenangi pingat gangsa ketika usianya baru sahaja 15 tahun dengan menewaskan pemain-pemain yang lebih terkemuka dari Thailand dan Indonesia.
Ketika ini, Jin Wei sedang dalam persiapan untuk membantu cabaran negara di Piala Sudirman yang akan berlangsung dari 21-28 Mei nanti di Gold Coast, Australia di mana dia akan mengalas cabaran selaku perseorangan wanita utama.
Dalam pada itu, selain Jin Wei, BAM turut membuat keputusan menggugurkan nama Sonia Cheah dari Kejohanan Dunia. Sepertimana Jin Wei, Sonia kini akan mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Sea keduanya selepas membuat penampilan pertama enam tahun lalu di Indonesia 2011.
Sonia adalah anggota skuad pemenang gangsa berpasukan wanita pada 2011 namun selepas itu kerap tersisih kerana masalah kecederaan berulang termasuklah kecederaan tendon Achilles pada 2013 dan hanya kembali aktif pada awal 2016.
Untuk rekod, Malaysia kemarau pingat emas dalam acara perseorangan wanita sejak kali terakhir bekas jaguh nombor satu negara Wong Mew Choo memenanginya pada temasya Vietnam 2003, iaitu kira-kira 14 tahun lalu. Â