Oleh Muhammad Aiman
Prestasi hambar awal musim tampak sudah tidak lagi membelenggu Kelantan, kini skuad dengan jolokan The Red Warriors itu semakin berani meletakkan sasaran mahu menamatkan musim di tempat ketiga Liga Super – kedudukan terbaik mereka sejak muncul juara pada 2012.
Bergelut di kedudukan pertengahan liga untuk hampir sebahagian besar musim ini, selain dihimpit pelbagai kemelut dalaman dan luar padang, TRW tidak diletak harapan untuk menempatkan diri di kelompok tiga pasukan terbaik.
Namun, kehadiran Velizar Popov pada Mei lalu nyata membawa angin perubahan ke kem Kelantan apabila pasukan itu bangkit dari krisis keyakinan dan tewas hanya dua dari lapan perlawanan liga di bawah kendalian jurulatih Bulgaria itu, berbanding tewas empat dalam 10 perlawanan di bawah bimbingan K.Devan.
Terbaru, TRW meneruskan revolusi dengan menewaskan Pulau Pinang 3-2 di Stadium Bandaraya pada Selasa lalu – untuk rekod, skuad Harimau Kumbang sebelum itu tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir malah berjaya menewaskan Kedah, serta mengikat Selangor dan JDT di laman sendiri.
Dengan 24 mata, Kelantan menghuni tempat kelima dengan ketinggalan hanya tiga mata di belakang pasukan tangga keempat Selangor (27), serta empat mata di belakang pasukan tangga ketiga Kedah (28) sekaligus berpotensi untuk mengurangkan defisit mata apabila melayan kunjungan Lang Merah di Kota Bharu dalam aksi seterusnya Rabu depan.
Tatkala Popov mengambil pendekatan tidak mahu bercakap kepada media sehingga akhir musim, pengurus pasukan Wan Badri Wan Omar menegaskan tidak mustahil dengan konsistensi yang ditunjukkan ketika ini Kelantan boleh mengimpikan mengakhiri musim di tempat ketiga.
“Kalau kita terus tunjukkan semangat melawan, dan menang baki perlawanan yang tinggal, kita mempunyai peluang berada di tempat ketiga. KPI kita adalah berada di kelompok empat terbaik, jadi tempat ketiga sudah tentunya satu bonus,” ujar Wan Badri yang kembali dilantik sebagai pengurus TRW pada bulan lalu.
Selepas aksi menentang Kedah, baki tiga aksi liga buat Kelantan adalah menentang Sarawak (10 September), PDRM (23 September) dan Perak (22 Oktober).
TRW juga sudahpun mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, dan akan melengkapkan aksi Kumpulan B dengan menentang Pahang di Kuantan pada Sabtu ini. Kelantan perlu menang sambil mengharapkan Selangor gagal mengutip mata penuh jika mahu layak selaku juara kumpulan.