Gergasi La Liga, FC Barcelona akan mengambil tindakan ke atas media tempatan, ‘El Mundo’ yang mendedahkan kontrak mega melibatkan kelab itu dan bintang mereka, Lionel Messi.
Laporan media itu pada Ahad mendedahkan kontrak 4 tahun Messi bersama The Catalan bernilai 555,237,619 euro.
Pecahan jumlah kontrak itu turut diperincikan antaranya bayaran tetap bernilai 245,314,080 euro berdasarkan jumlah perlawanan yang akan disertai Messi, bergantung kepada prestasi semasa Barca dalam saingan Liga Juara Juara Eropah, layak ke perimgkat kalah mat Copa del Rey serta La Liga.
Malah, penyenaraian Messi bagi kategori Pemain Terbaik Dunia FIFA turut diambil kira.
Bayaran lain, bonus loyalti sebanyak 66,249,462 euro dan 97,941,250 euro untuk menanda tangani kontrak bersama kelab itu.
Pendedahan ini disiarkan kira kira seminggu selepas Barcelona mengumumkan tunggakkan hampir 1.2 bilion euro dan hutang sebanyak 200 000 juta euro melibatkan bayaran bagi perpindahan pemain.
Kelab itu yang sedang dalam proses untuk melantik Presiden baharu akan mengambil tindakan terhadap El Mundo dan terus memberi sokongan penuh kepada Messi dan akan mengambil tindakan terhadap mana mana pihak yang cuba mengeruhkan imej serta hubungan diantara pemain itu dan Barcelona.
Messi juga dilaporkan akan mengambil tindakan yang sama terhadap El Mundo.
Kontrak mega Lionel Messi akan tamat penghujung musim ini dan beliau masih belum memutuskan masa depannya sama ada mahu kekal di Nou Camp atau sebaliknya.