Hazwan

Ketiadaan Darren Lok (gambar utama) yang digugurkan kerana kecederaan menyaksikan Nelo Vingada hanya mempunyai Syafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyerang apabila pasukan kebangsaan menentang Korea Utara dalam dua aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, pada 10 dan 13 November.

Ini seolah memberi gambaran awal betapa skuad negara akan sekali lagi bergelut di dalam mencari kemenangan pertama bagi menghidupkan peluang beraksi di pusingan akhir apatah lagi untuk menang, mereka perlu menjaringkan gol dan perlukan penyerang yang klinikal untuk menyudahkan setiap peluang.

Bukan mahu menidakkan kredibiliti Syafiq mahupun Hazwan, kedua-duanya mempunyai reputasi bagus namun apa yang dituntut ketika ini adalah mahu melihat mereka menterjemahkan sentuhan sama di pentas antarabangsa.

Syafiq yang membantu skuad B-22 memenangi pingat perak di Sukan SEA adalah pendatang baru di dalam skuad senior manakala Hazwan sehingga kini belum lagi membuktikan mengapa dia layak digelar penyerang nombor satu tanah air.

Dalam lima perlawanan diharungi sejak Vingada mengambil alih, skuad negara hanya menjaringkan tiga gol dengan hanya satu gol dijaringkan oleh penyerang iaitu Darren Lok ketika menentang Syria, itupun menerusi tendangan penalti justeru tidak keterlaluan untuk mengatakan barisan serangan negara cukup tidak efektif ketika ini.

Malah, selepas kekalahan 0-2 kepada Hong Kong pada bulan lalu, Vingada sendiri mendedahkan bahawa skuad negara tewas kerana tiada penyerang yang bagus. Ketika itu Vingada mengambil langkah berani menurunkan skuad tanpa penyerang di separuh masa pertama sebelum memasukkan Darren di separuh masa kedua.    

Dengan Vingada tidak begitu memandang kudrat pemain senior seperti Safee Sali, Amri Yahyah, Ashaari Shamsuddin atau Indra Putra Mahyuddin sekurang-kurangnya sebagai solusi jangka pendek, sememangnya pilihan penyerang dilihat begitu terhad dan peminat boleh dimaafkan andai mereka tidak meletakkan harapan tinggi terhadap baki aksi dalam pusingan kelayakan ini.    

Sementara itu, bagi Syafiq, biarpun pertama kali dipanggil, dia tidak gementar malah mengidamkan tempat di dalam kesebelasan utama  dan tekad mahu membuktikan Vingada tidak tersilap membuat pilihan dengan memanggilnya.

“Saya mahu menyumbang sesuatu dalam penampilan pertama ini andai diberi peluang dan membuktikan saya sememangnya layak berada di dalam pasukan. Saya telah beraksi di kelayakan AFC B-23, Sukan SEA, jadi saya mahu manfaatkan pengalaman itu untuk membantu skuad senior.

“Memang saya akui saya dan Hazwan memikul tugas berat, tapi kami perlu sahut cabaran ini. Saya bersedia berikan yang terbaik dan berharap beraksi dengan skuad senior ini akan memberikan saya lebih pengalaman berharga,” kata Syafiq yang menjulang Piala FA bersama Kedah musim ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -