Belum pun reda isu sekatan perpindahan pemain import baru dan juga pemotongan mata, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus dihimpit masalah demi masalah di mana kali ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan mereka menyelesaikan tunggakan gaji beberapa pemain dan pegawai dalam tempoh 14 hari.
KAFA diarah menyelesaikan tunggakan berjumlah keseluruhan hampir RM200,000 kepada dua bekas pemain Faizal Abu Bakar (RM44,000) dan Tuan Muhammad Faim Zainal Abidin (RM9,000) serta RM77,486 kepada Khairul Izuan Rosli yang masih lagi merupakan pemain The Red Warriors musim ini.
Jawatankuasa Status FAM yang bersidang pada Jumaat turut memutuskan AS$14,000 (RM59,951) perlu dibayar kepada bekas pengendalinya Velizar Emilov Popov namun seperti biasa, tidak ada tanda-tanda KAFA akan mematuhi arahan itu.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya menempelak tindakan Faizal, Tuan Faim dan Khairul dengan mengatakan bahawa mereka tidak memahami masalah dihadapi KAFA malah tindakan membawa isu ini kepada badan induk tidak akan membantu menyelesaikan masalah.
“Mereka boleh bawa kes (tidak bayar gaji) kepada pihak atas (FAM) dan mendapat penghakiman sepertimana Kelantan kini disuruh bayar mereka dalam 14 hari, tapi isunya bukan KAFA tak nak bayar. Kalau ada perintah dari langit sekalipun atau dipukul sampai mati sekalipun, KAFA tiada duit nak bayar.
“Pernah seorang pemain pergi ke mahkamah dan berjaya dapatkan perintah mahkamah dengan membekukan akaun KAFA. Apa dia dapat? Membekukan akaun yang tiada duit tidak menyelesaikan apa-apa. Hingga hari ini pemain terbabit tidak dapat duit melainkan setelah berunding elok-elok dan dapat bayaran secara ansuran,” kata Annuar.
Annuar turut mendedahkan terdapat ramai pemain yang mana tunggakan gaji mereka jauh lebih tinggi dari apa yang dituntut oleh Khairul Izuan, Faizal mahupun Tuan Faim namun menurutnya mereka faham masalah dan sentiasa ‘slow talk’ dengan KAFA.
“Misalnya Brendan Gan, dia faham dia tak perlu bawa perkara ini ke atas kerana KAFA tidak pertikaikan tunggakan cuma KAFA belum mampu dan tetap ambil tanggungjawab, bukannya melupakan hutang itu. Tajaan tahun 2017 tidak cukup pun untuk skuad 2017 itu sendiri, macam mana kita nak guna untuk bayar hutang 2015 atau 2016?” ujar Annuar lagi.
Itu hujah dari pihak Annuar, memang ada betul kata-katanya, pukul sampai mati sekalipun kalau tiada duit macam mana hendak selesaikan hutang. Jelas, ia fakta yang tidak boleh disangkal.
Dengan menjadikan kewangan kritikal, tidak mendapat bantuan kerajaan, bajet kecil serta pasukan paling ‘miskin’ sebagai alasan, Annuar yang juga bekas Presiden KAFA selama hampir sepuluh tahun mengulangi betapa hutang hanya akan diurus apabila mampu.
Sekadar mengingatkan, baru-baru ini, Kelantan berjaya melakar rekod dalam transaksi perpindahan pemain di Liga Malaysia apabila menjual penyerang import sensasi, Mohamed Ghaddar kepada Johor Darul Takzim dengan nilai dilaporkan mencecah RM1.4 juta (jumlah didedahkan oleh Setiausaha Agung KAFA sendiri, Dato’ Ismail Mohd Nor).
Ketepikan segala isu yang tercetus sepanjang proses perpindahan itu berlaku (sama ada mengenai syarat perpindahan, undang-undang merapu FMLLP dan sebagainya) kerana bukan itu isu yang dibincangkan sebaliknya tumpukan kepada jumlah RM1.4 juta yang masuk ke dalam kantung KAFA.
Apa yang KAFA buat dengan wang itu? Mereka pantas mendapatkan pengganti Ghaddar, iaitu Abou Bakr Al-Mel (Bako) dari Tripoli SC dengan bayaran pendahuluan dan yuran ejen melebihi RM300,000 sepertimana didedahkan oleh Ismail.
Memang penghijrahan Ghaddar satu kehilangan besar buat pasukan itu, tetapi adakah FMLLP menetapkan syarat bahawa sebaik seorang pemain berpindah, perlu segera diganti dengan pemain baru? Itu adalah hak dan pilihan buat pasukan, sama ada mahu mendapatkan import baru atau membelanjakan wang jualan Ghaddar bagi tujuan lain.
Tanpa meletakkan tumpuan terhadap pemulihan imej yang teruk tercalar dek masalah tunggakan gaji, Kelantan memilih membawa masuk Bako dan mendapat sorakan hebat para penyokong walhal RM300,000 sekiranya dimanfaatkan sebaiknya boleh sedikit sebanyak membantu menyelesaikan atau setidak-tidaknya mengurangkan beban hutang ditanggung KAFA.
Ini tidak, sebaliknya pemain yang menuntut hak diberi amaran pula oleh Annuar, “Kepada pemain yang memilih cara menekan KAFA, semoga berjaya. Anda berjaya mendapatkan perintah tetapi saya tidak fikir anda akan dapat duit. Terutamanya apabila tiada duit.”
Jadi, inikah yang dinamakan sebagai mengurus hutang bila mampu? Pada ketika anda ada pilihan kurangkan beban hutang, anda memilih bermain dengan periuk nasi pemain. Sesiapa yang menegur pantas dilabel sebagai tiada pengalaman menguruskan pasukan bolasepak profesional dan mahu menjatuhkan TRW.
Tetapi hakikatnya inilah cara ‘profesional’ seorang bekas Menteri Belia dan Sukan, yang berpengalaman luas, yang pernah memegang jawatan Presiden KAFA selama sedekad menguruskan pasukannya. Selamat berjaya diucapkan.