Kemelut tunggakan gaji membabitkan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dengan bekas anggota pasukannya semakin hampir menemui titik noktah.
Menurut Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah tunggakan gaji bagi anggota skuad 2018 sudahpun diselesaikan dengan bantuan dan komitmen dari kerajaan negeri dan kini tinggal hanya tunggakan bagi tahun 2017 yang sedang diuruskan FAP.
“Setakat ini, tunggakan bagi skuad Liga Premier, Piala Presiden dan Piala Belia 2018 sudah dibayar. Yang tinggal adalah 2017 dan ianya akan diselesaikan secepat mungkin kerana kita tidak mahu ianya berlarutan dan menjejaskan persiapan skuad musim baru.
“Tunggakan 2017 adalah bagi mereka yang tiada dalam senarai FAP, tetapi kita akan cuba menghubungi mereka dan sekiranya boleh Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) mahu mengadakan rundingan berikutan ketika itu prestasi pasukan merosot teruk sehingga tersingkir dari Liga Super.
“Kita faham dengan situasi yang dihadapi oleh pemain-pemain yang sudah tentunya mempunyai banyak komitmen, ini adalah hak mereka,” ujar Amar Pritpal kepada media selepas aksi persahabatan antara Pulau Pinang dan MIFA di Stadium Negeri Batu Kawan pada Isnin lalu.
Ditanya mengenai persiapan skuad Harimau Kumbang untuk menghadapi Liga Premier 2019, Amar Pritpal berkata semuanya berjalan lancar dan berada dalam landasan tepat namun enggan terburu-buru meletakkan sasaran tinggi.
“Sasaran lima teratas mungkin realistik mengambil kira pasukan ini dibarisi hampir keseluruhan wajah baru. Kita berharap prestasi baik dapat ditunjukkan malah sentiasa meningkat naik agar Pulau Pinang dapat menarik semula kehadiran penyokong membanjiri stadium sepertimana zaman kegemilangan suatu masa dahulu,” katanya.
Sebagai rekod, Pulau Pinang pada 2018 di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan dua tercorot berikutan masalah kewangan kritikal yang menjejaskan prestasi pasukan.
Mereka bagaimanapun bernasib baik tidak tersingkir ke Liga FAM memandangkan Malaysia Football League membuat keputusan untuk menyingkirkan hanya satu pasukan sahaja dan pada musim baru ini pasukan akan dibimbing oleh Ahmad Yusoff. – OLEH MUHAMMAD AIMAN