Oleh Muhammad Aiman

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah turun padang untuk bersama-sama menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan, pada Sabtu.

Pengerusi YAKEB, Dato’ Hj Malek Noor berkata yayasan itu terpanggil untuk turut serta dalam misi kemanusiaan ini sebagai menyahut panggilan bantuan yang diperlukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA).

Dalam masa sama menurutnya ia satu daripada ikhtiar yang digerakkan menerusi kempen 1Malaysia 1Hope (1M1H) – YAKEB yang mengajak bekas atlet untuk berbakti kepada masyarakat dengan terlibat di dalam program-program komuniti.

“Kita telah memberi sumbangan berupa beg sekolah dan wang tunai berjumlah RM25,000 untuk kegunaan menyediakan makan minum mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bunohan ini.

“Sumbangan 1M1H adalah berdasarkan keperluan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan, ini ditentukan oleh pihak NADMA yang menjemput YAKEB terlibat dalam program ini. Walaupun tidak seberapa, kami harap ia dapat membantu keperluan mangsa terutamanya memastikan anak-anak kembali ke sekolah dengan kelengkapan sempurna.”

Untuk rekod, seramai 646 mangsa daripada 207 keluarga dari sekitar Pengkalan Kubor dan Tumpat ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak beberapa hari lalu.

Selain Perdana Menteri dan YAKEB, turut hadir melawat mereka adalah Pengerusi Maj­lis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Zaitun Ab. Samad.  

Menurut Malek lagi, ini bukan kali pertama YAKEB terlibat dengan aktiviti seperti ini di mana mereka juga pernah menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di tiga negeri pantai timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang dua tahun yang lalu.

“Bezanya ketika itu kita fokuskan kepada bekas atlet-atlet yang merupakan ahli YAKEB sahaja, kita telah mengadakan perlawanan bolasepak persahabatan untuk mengumpul dana dan menghulurkan  bantuan kepada mereka.

“Manakala kali ini, ianya bersifat lebih menyeluruh kerana objektif 1M1H adalah membawa bekas atlet mendekati masyarakat. Ini bertepatan dengan tagline kita iaitu ‘Giving Back To The Nation’, sentiasa bersedia untuk datang membantu tepat pada waktunya,” kata Malek yang pernah bergelar Mr. Asia sebanyak enam kali.  

Dalam pada itu, Malek berkata pihak YAKEB juga telah menyampaikan bantuan kepada bekas atlet paralimpik negara, Rahim Yusoff yang pernah beraksi di Sukan Para Asean Hanoi 2003 di bawah skim bantuan khas bencana alam YAKEB.

Rahim, bekas pemegang rekod 100m paralimpik yang tinggal di Pulai Chondong, Machang mengalami kerugian akibat kehilangan kambing peliharaan yang menjadi punca rezekinya disebabkan bencana ini.

- Advertisement -