Selepas mencuba beberapa kali pakar pecut pasukan Androni Giocattoli-Sidermec, Manuel Belletti memenangi Peringkat 7 dan laluan paling panjang dalam Le Tour de Langkawi 2018 dari Nilai ke Muar hari ini, apabila menguasai henjutan terakhir sekumpulan 10 pelumba yang membuat pemecahan.
Pakar pecut berpengalaman itu, menamatkan kayuhan sejauh 222.4km yang turut mengandungi enam zon pendakian kategori 4 dan tiga zon pecutan, dengan masa 5 jam 8 minit 23 saat, di depan pelumba Wilier Trestina-Selle Italia, Eugert Zhupa serta pelumba Astana Pro Team, Ruslan Tleubayev.
Penyarung jersi kuning sejak tamat Peringkat 5 di Cameron Highlands, Artem Ocechkin dari pasukan TSG yang tiba dalam kelompok kedua, terus mengekalkan jersi kuning pendahulu di depan pencabar baru Lukasz Owsian dari CCC Sprandi Polkowice, dengan kelebihan 28 saat, menjelang peringkat kelapan dan terakhir dari Rembau ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur esok.
Ovechkin yang terpaksa bekerja keras dalam kayuhan itu untuk memastikan tidak terlepas jersi kuning turut mengekalkan jersi polka dot merah Raja Bukit (40 mata), biarpun suatu ketika seakan terlepas kepada Bernardo Albeiro Suaza (Manzana-Postobon) dan Alvaro Raul Duarte (Forca Amskins) yang menguasai beberapa zon pendakiaan awal pada peringkat itu dan masing-masing mengumpul 38 mata.
Jersi hijau Raja Pecut juga kekal menjadi milik Riccardo Minali dari pasukan Astana (55 mata) yang tidak mengumpul sebarang tambahan mata apabila pencabar terdekat Andrea Guardini tidak agresif di setiap zon pecutan dan tercicir dalam kelompok besar pelumba di belakang.
Begitupun, gelaran Pelumba Terbaik Malaysia berpindah kepada Muhamad Zawawi Azman dari Team Sapura Cycling yang bijak menempatkan diri dalam kelompok depan pada awal perlumbaan dan tiba dalam kumpulan kedua mengandungi 31 pelumba, 1 minit 23 saat di belakang kumpulan pertama..
Ketika ramalan awal menjangkakan kayuhan akan menyaksikan satu lagi henjutan beramai-ramai di garisan penamat, jarak yang panjang serta enam zon pendakian menyebabkan kelompok 118 pelumba berpecah kepada beberapa kumpulan besar.
Begitupun, Belletti bijak menempatkan diri dalam kelompok besar pelumba di depan, yang kemudian berpecah menjadi sekumpulan 10 pelumba ketika menghampiri Tangkak dan kekal kira-kira seminit 35 saat di depan kumpulan pengejar.
“Malam tadi, pasukan ada berbincang dua kemungkinan iaitu perlumbaan berakhir dengan kelompok besar dan peloton berpecah kepada beberapa kumpulan. Kami juga mengkaji laluan di kilometer terakhir.
“Jadi saya dan rakan sepasukan Androni sentiasa peka sepanjang kayuhan dan cuba menempatkan diri dalam kelompok di depan. Walaupun ada lima pelumba Androni di depan, saya akui peringkat hari ini begitu sukar dan kompetitif.
“Kemenangan hari ini sungguh bermakna kerana kali terakhir saya menang ialah dua tahun lalu hingga menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menyertai Androni bagi musim perlumbaan tahun ini,” katanya yang tidak berlumba sepanjang tahun lalu kerana menghidap jangkitan virus.
Prestasinya juga hampir terjejas Januari lalu apabila terbabit dalam kemalangan dan mengalami patah rusuk serta tulang selangka di Argentina.
Belletti yang pernah menyarung jersi AG2R dan Colnago-Inox serta mengumpul satu kemenangan peringkat di Giro d’Italia pada 2010 dalam kariernya berkata, dia akan cuba memburu satu lagi kemenangan peringkat esok.
“Saya berharap kemenangan hari ini akan menjadi permulaan yang baik bagi saya musim ini, dengan sasaran dapat berlumba dan menang di Giro lagi,” katanya.
Ovechkin ketika ditemui, berkata dia mendapat bantuan rakan sepasukan TSG sepanjang perlumbaan itu dan suatu ketika terpaksa bertindak sendiri dalam kumpulan yang mengandungi pesaing-pesaing terdekatnya.
“Seperti dijangka memang sukar tetapi semuanya okay kerana saya hanya perlu mengawasi beberapa pencabar terdekat saja,” katanya yang dibantu Metkel Eyob ketika berada dalam kumpulan pengejar pada peringkat itu.
Sementara itu, pelumba muda Sapura, Muhammad Zawawi yang mengambil alih tempat rakan sepasukan Sapura, Muhammad Nur Aiman Zariff sebagai pelumba terbaik Malaysia pada, berkata dia berbangga dapat memikul tugas dalam peringkat yang panjang dan sukar itu.
“Saya memang berada rapat dengan rakan sepasukan dari Colombia (Wilmar Perez Munoz dan Victor Nino Corredor) serta Dylan Page dan sentiasa berada di kelompok depan. Begitupun saya agak lambat untuk bertindak ketika kumpulan 10 pelumba yang itu meloloskan diri dan terpaksa berkayuh dalam kumpulan kedua saja,” kata pelumba kelahiran Ipoh yang menduduki tempat ke-24 dalam peringkat itu.
Daripada 118 pelumba yang mendaftarkan diri di awal perlumbaan, 14 pelumba gagal menamatkan kayuhan, menjadikan kini hanya 104 pelumba saja yang akan bersaing pada peringkat terakhir dari Rembau ke Kuala Lumpur esok.
Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.
LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.
RESULTS
STAGE
- Manuel Belotti – ANDRONI GIOCATOLLI – 5:08:23
- Eugert Zhupa – WILLIER TRIESTINA – same
- Ruslan Tleubayiev – ASTANA – same
OVERALL
- Artem Ovechkin – TSG – 28:56:20
- Lukasz Owsian – CCC Sprandi – 28:56:48
- Benjamin Dyball – ST GEORGE CONTINENTAL – 28:56:52
BEST SPRINTERS’ (GREEN JERSEY)
- Riccardo Minali – ASTANA – 55 points
- Andrea Guardini –BARDINI – 46 points
- Luca Pacioni – WILLIER TRISTINA – 35 points
BEST CLIMBERS’ (RED POLKA DOT JERSEY)
- Artem Ovechkin – TSG – 40 points
- Bernardo Arango – Manzana Postobon – 38 points
- Alvaro Sandoval – Forca Amskins – 38 points