29th SEA Games KL2017 Olahraga Athletics - Khairul Hafiz Jantan

 

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak menolak kemungkin untuk mempertimbangkan rancangan mendapatkan jurulatih luar negara bagi melatih jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.

Namun Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim menjelaskan, keputusan tersebut memerlukan perbincangan lanjut dengan  jurulatih ‘The Speedy Jantan’, Mohd Poad Md Kassim.

“Walaupun kita ada perancangan tersebut namun kita tidak akan ketepikan Cikgu Poad dan kita perlu berbincang terlebih dahulu berkenaan mengambil jurulatih luar untuk melatih Khairul Hafiz Jantan.

“Ini kerana beliau yang selayaknya membuat keputusan buat Khairul kerana beliau sememangnya lebih mengetahui keadaan dan situasi dan saya yakin cikgu Poad lebih tahu Dan memberikan apa yang terbaik buat Khairul,” katanya ketika ditemui di sidang media Majlis Penajaan UFL di Wisma UFL.

Awal bulan ini, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad mencadangkan KOM dan MSN untuk mendapatkan kepakaran luar negara bagi memburu gelaran di peringkat Asia.

Namun, saranan itu tidak dipersetujui jurulatih Khairul, Mohd Poad Md Kassim kerana masih terlalu awal untuk meletakkan bebanan yang tinggi kepada anak didiknya.

“Bagi saya, usia Khairul masih muda jadi saya tidak mahu tekankan sangat untuk dapatkan pingat kerana tahap kematangan Khairul untuk berfikir dan kematangan ototnya Masih di tahap yang baru lagi.

“Walau bagaimanapun kita tetap akan berbincang dengan Datuk Karim berhubung latihan yang akan diberikan untuk Khairul,” kata Poad.

Mengulas lanjut sasaran di Sukan Asia nanti, Poad berkata, “Ini adalah kali pertama buat Khairul beraksi di Sukan Asia, jadi sasaran yang kita letakkan kalau boleh kata mahu dapatkan lapan terbaik dalam acara pecut,” katanya lagi. 

Khairul juga menyuarakan hasratnya untuk bersama sama dengan Poad dan tidak mahu mengulas lanjut tentang isu jurulatih luar negara.

“Saya tidak tahu apa apa tentang perkara ini dan masih belajar lagi. Selepas ini saya akan kembali ke Sekolah Sukan Bandar Penawar dan akan mengikuti jadual latihan yang diberi oleh cikgu Poad,”kata Khairul.

Khairul masih menjalani proses pemulihan dibawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) selepas mengalami kecederaan pangkal peha sebelum turun beraksi di Sukan SEA ke 29 baru baru ini.

Proses rawatannya dijangka memakan masa kira kira tiga minggu dan Khairul dijangka kembali menjalani latihan penuh pada Oktober.

Poad juga merangka untuk menjalani latihan di Jepun jika proses pemulihan Khairul berjalan lancar, namun perkara tersebut masih diperingkat cadangan dan belum dibawa ke pihak pengurusan KOM dan MSN.OLEH HUSNIYAH GHAZALI

 

 

 

 

- Advertisement -