Terengganu Team Football Club (T-Team)

Oleh Muhammad Aiman

Kegagalan mencatat kemenangan dalam dua perlawanan pertama Piala Malaysia, belum mendorong T-Team untuk menekan butang panik sebaliknya pasukan itu tetap menaruh keyakinan segalanya akan kembali berada di landasan tepat selepas ini.

Jurulatih, Rachmad Dermawan menegaskan, “Kami akan terus bekerja keras mencari kemenangan. Memang mengecewakan tetapi belum masanya untuk panic, saya akan lakukan beberapa perubahan demi memantapkan pasukan, sama ada di barisan pertahanan, tengah atau serangan pasukan.

“Penyerang kita agak tumpul dan kita gagal menyempurnakan peluang-peluang dan hantaran yang tercipta dan itu menghukum kita. Saya akan buat pertukaran bagi memastikan semua pemain berfungsi dengan baik.”

T-Team pada Rabu, tewas 0-2 di gelanggang sendiri kepada Kedah menerusi dua jaringan awal Shane Edward Smeltz dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia.

Mereka terdahulu mensesiakan kelebihan dua gol untuk berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 ketika menentang Johor Darul Takzim II pada perlawanan pembuka tirai 12 Julai lalu.  

Rachmad bagaimanapun optimis anak buahnya tidak akan mengulangi kesilapan sama  apabila berdepan Sarawak pada 29 Julai depan sekaligus kembali menghidupkan peluang memburu tempat di suku akhir.

Skuad The Titans juga menyambung tirai aksi Liga Super selepas rehat panjang selama lebih tujuh minggu dengan kurang meyakinkan, apabila tewas kepada pasukan tangga tercorot Pulau Pinang 3-4.

T-Team akan sekali lagi menentang Kedah pada Sabtu ini di Alor Star dalam aksi Liga Super, diikuti pertemuan dengan Sarawak juga dalam aksi liga pada Selasa 26 Julai.

- Advertisement -