Oleh Muhammad Aiman
Jika ada yang memikirkan bahawa Malaysia berdepan laluan mudah dan tidak akan bermasalah untuk mara sehingga ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016 yang akan berlangsung hujung tahun ini, nyata ianya telahan yang silap.
Harimau Malaysia diundi bersama tuan rumah Myanmar dan Vietnam serta satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan di dalam Kumpulan B, dan pelbagai isu yang sedang membelenggu kem negara sudah cukup untuk serba-serbi mencacatkan perancangan Dato’ Ong Kim Swee membentuk sebuah skuad mantap.
Kehilangan empat pemain tonggak dari Johor Darul Takzim diketuai kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang memilih untuk berundur dari skuad kebangsaan pada bulan lalu, masih menjadi satu tamparan hebat buat Kim Swee.
Pengendali Vietnam, Nguyen Huu Thang yang mengambil alih tugas Toshiya Miura baru-baru ini menyifatkan Malaysia kesuntukan masa untuk mencari pengganti berkredibiliti kepada empat pemain itu dan mahu memanfaatkan kekalutan di kem negara untuk merebut tiket ke separuh akhir.
“Ia adalah satu undian yang baik, peluang terbuka untuk mara ke separuh akhir. Semua pasukan boleh dikatakan lebih kurang sama taraf sahaja di rantau Asia Tenggara ini, tiada perlawanan yang boleh dianggap mudah. Pemain-pemain saya cukup bersemangat mahu membalas dendam kekalahan kepada Malaysia di separuh akhir pada 2014.
“Semua orang bercakap mengenai persaingan tiga penjuru antara Malaysia, Vietnam dan Myanmar untuk mencari tempat di separuh akhir, tetapi kita tidak boleh ketepikan cabaran dari satu lagi pasukan yang belum diketahui begitu sahaja.
“Sebagai contoh, Kemboja yang akan beraksi di pusingan kelayakan, mengejutkan arena bolasepak apabila menewaskan juara empat kali Singapura baru-baru ini dan ini sudah tentunya menjadi satu amaran kepada semua pasukan dalam Piala AFF supaya berhati-hati.
“Ia adalah satu cabaran buat saya untuk mempersiapkan pemain tatkala mereka sedang komited dalam saingan domestik. Liga kami hanya akan berakhir pada September, saya harap semua pemain akan bebas dari kecederaan,” kata Huu Thang sepertimana dipetik dari thethao.thanhnien.vn.
Manakala pengendali Myanmar, Gerd Zeise pula optimis barisan pemain mudanya boleh melangkah jauh dan menjulang kejuaraan – pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2004.
“Saya telah membawa masuk pemain-pemain muda untuk memperkuatkan pasukan dan ia adalah proses yang berterusan. Sasaran kami adalah memenangi piala, Vietnam dilihat konsisten tetapi Malaysia dilihat sedang bergelut dan berkemungkinan tidak menyerlah,” kata Geise.
Malaysia akan memulakan cabaran di Piala AFF Suzuki dengan menentang pasukan dari pusingan kelayakan pada 20 November, diikuti Vietnam pada 23 November dan Myanmar pada 26 November.
“Ianya bagus untuk kita berdepan pasukan dari pusingan kelayakan terlebih dahulu, dan kemudiannya baru berdepan pasukan lebih kuat. Ada beberapa perlawanan persahabatan telah diatur pada September sebagai membantu persiapan dan ia memberi peluang kepada saya kenalpasti barisan yang diidamkan,” ujar Kim Swee.
Pengendali berusia 45 tahun itu bagaimanapun mempunyai masa yang terhad untuk mempersiapkan pasukannya memandangkan saingan Liga Malaysia hanya akan berakhir pada 29 Oktober.