Ketua jurulatih pasukan terjun negara, Yang Zhuliang percaya punca kontraknya tidak diperbaharui apabila ianya berakhir hujung tahun ini ada kaitan dengan perselisihan faham dengan pegawai Institut Sukan Negara, ketika temasya Sukan SEA pada Ogos lalu.
Menurut jurulatih kelahiran China itu, “Mungkin tidak ramai yang tahu, Nur Dhabitah (Sabri) mengalami kecederaan ketika dia terlibat dalam Majlis Pembukaan Sukan SEA di Stadium Nasional pada 19 Ogos lalu. Pegawai ISN telah melihat keadaan dia dan menasihatkan agar dia digugurkan dari Sukan SEA, tetapi saya tidak mengikut arahannya.
“Saya telah bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan (Brig Jeneral Khairy Jamaluddin) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Dato’ Ahmad Shapawi Ismail) sekiranya dibolehkan Dhabitah beraksi kerana dia prospek emas dan bersemangat tinggi mahu beraksi di hadapan penonton sendiri, dan mereka bersetuju dengan saya.
“Saya tahu pegawai ISN itu tidak begitu gembira kerana saya menggunakan nama menteri dan orang atasan untuk tetap membenarkan Dhabitah beraksi dan sejak itu juga hubungan saya dengannya, malah dengan ISN menjadi dingin sehingga timbul pula dakwaan cara latihan saya ketinggalan zaman dan tidak tekankan sains sukan.
“Saya percaya semua insiden ini saling berkait dan membawa kepada tindakan mereka mencari jurulatih lain. Kalau betul mereka mahukan seorang jurulatih yang menerapkan sains sukan dalam latihan, cuba beritahu saya adakah ia membawa implikasi besar kepada sukan terjun?
“Negara seperti Mexico, Kanada, Amerika Syarikat, Australia yang menyandarkan kepada sains sukan semuanya tidak menang pingat emas di Sukan Olimpik tahun lalu,” ujar jurulatih yang membimbing Cheng Jun Hoong muncul juara Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) dalam acara 10m platform beberapa bulan lalu.
Khairy dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan bahawa antara sebab kontrak Zhuliang tidak diperbaharui adalah kerana jurulatih itu membenarkan wujudnya budaya dan persekitaran yang diselubungi ketakutan dalam kem terjun kebangsaan yang membawa kepada insiden rogol, gangguan seksual, penderaan fizikal, buli dan ugutan.
Menafikan perkara itu, Zhuliang berkata, “Saya tidak boleh mengawal kehidupan peribadi atlet, saya jarang bercampur dengan atlet selepas habis waktu latihan jadi mana mungkin saya boleh mengawal apa yang terjadi dalam kehidupan peribadi mereka?
“Saya terkejut dituduh sampai sebegini, umpamanya dalam kes rogol, saya tidak tahu pun tentang perkara itu sehinggalah dia (Huang Qiang, penolong jurulatih) ditahan. Kalau sudah tidak perlukan khidmat saya, tak mengapa saya terima, tetapi tidak perlu wujudkan pula pelbagai cerita tidak enak.
“Saya tinggalkan Malaysia dengan mengetahui bahawa saya sudah buat yang terbaik untuk mengangkat martabat sukan terjun di negara ini dan melahirkan penerjun-penerjun bertaraf dunia,” kata Zhuliang yang pertama kali melatih skuad negara pada 2001-2005 dan kembali semula ke sini pada 2008.OLEH MUHD AIMAN