Muhammad Afif
Selepas tamat pusingan kedua Kejohanan Golf Remaja Terbuka Malaysia 100PLUS 2016, kedudukan pendahulu sedikit berbeza berbanding semalam di Kelab Golf Templer Park.
Muhammad Afif Muhd Fathi kurang menyerlah berbanding pusingan pertama apabila menutup 18 lubang di hari kedua dengan catatan 71 pukulan 1 dibawah par.
Selepas beraksi 36 lubang pemain yang mewakili MGA ini terus berada di kedudukan teratas dengan catatan 139 pukulan lima dibawah par.
Afif tidak berkeseorangan kerana pemain yang mewakili negeri Sarawak, Lim Beng Keat turut berkongsi kedudukan selaku pendahulu, mengumpul catatan yang sama selepas tamat dua pusingan.
Bagi Afif, gagal mengawal tekanan menjadi punca kemerosotannya pada hari ini, malah beliau menjangkakan saingan bertambah sengit esok yang merupakan hari terakhir.
“Tiada birdie dilakar di sembilan lubang pertama walaupun berjaya mengawal bola didalam green. Saya cuba bertenang di sembilan lubang terakhir dan berjaya melakar tiga birdie dipenghujung permainan.
“Saya harap dapat mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga esok, dan perlu menguatkan lagi mental kerana terlalu berada di dalam zon yang selesa dan tidak bermain bersungguh sungguh,” kata Afif.
Beng Keat pula berbangga dengan pencapaiannya hari ini kerana berjaya mencapai objektifnya, mahu memperbaiki kedudukan sekaligus mencabar kejuaraan.
Bermula dengan tiga dibawah par, Lim terlepas beberapa peluang untuk melakar birdie di penghujung perlawanan sekaligus berpuas hati dengan 70 pukulan dua dibawah par.
“Pusingan kedua lebih baik berbanding semalam, tetapi putting saya tidak banyak membantu ketika di awal permainan. Sepanjang permainan, saya hanya menumpukan pukulan jarak dekat,” kata Beng Kiat (gambar utama).
“Saya sudah bermain dua kali di lapangan golf disini, esok saya tidak mahu terburu buru ketika bermain, hanya fokus satu lubang demi satu lubang dan harapnya dapat kekalkan kedudukan ini.”
Sementara itu, dalam saingan wanita pula, tiada perubahan dalam dua kedudukan teratas yang kekal memihak Qistina Balqis Azhar dan Nursyazani Amalia Shahzan.
Hari kedua, Qistina mengekalkan catatan seperti hari pertama 71 pukulan satu dibawah par untuk mengumpul 142 pukulan dua dibawah par selepas tamat dua pusingan.
Qistina yang juga pemain MGA sedikit kecewa dengan prestasinya di hari kedua apabila gagal mengawal putting dengan baik selain bermain dalam tekanan sepanjang hari.
“Permainan hari agak baik dengan satu birdie di sembilan lubang pertama, tetapi saya gagal mengawal bola di sembilan lubang terakhir. Saya agak tertekan kerana cuba mahu mengekalkan catatan yang terbaik untuk terus berada di kedudukan teratas.
“Saya perlu menguatkan mental diri sendiri khususnya dipenghujung permainan untuk memastikan kedudukan yang baik esok,” kata Qistina.
Syazana pula memperbaiki catatannya di hari kedua dengan 73 pukulan satu diatas par berbanding dua diatas par pada hari pembukaan untuk catatan terkumpul selepas dua pusingan, 147 pukulan tiga diatas par.
Tempat ketiga milik Zulaikah Nurziana Nasser yang mencatat 73 pukulan satu diatas par untuk catatan terkumpul selepas beraksi 36 lubang 151 pukulan tujuh diatas par.
KEDUDUKAN HARI KEDUA
LELAKI
139 Muhammad Afif Muhd Fathi (MGA) 68 71
139 Lim Beng Keat (SARAWAK) 69 70
142 Khavish Verman Varadan (MGA) 72 70
142 Daeng Abdul Rahman (MGA) 70 72
145 Galven Kendall Green (MGA) 72 73
145 Lee Chong Li (JOHOR) 74 71
146 Benjamin Yeap (SELANGOR) 71 75
148 Chan Kai Zhane (KEDAH) 74 74
149 Sheikh Abdul Razak (K. LUMPUR) 74 75
151 Tommy Tan (SINGAPURA) 72 79
152 Zia Izzuddeen Abdul Rashid (SELANGOR) 81 71
152 Zubair Firdaus (K. LUMPUR) 76 76
WANITA
142 Qistina Balqis Azhar (MGA) 71 71
147 Nur Syazani Amalia Shahzan (MGA) 74 73
151 Zulaikah Nurziana Nasser (SELANGOR) 78 73
155 Jocelyn Chee Yi Min (KEDAH) 84 71
158 Vinishah Gunaseelan (K. LUMPUR) 81 77
158 Liyana Durisic (SELANGOR) 79 79
159 Megan Lee Zehui (K. LUMPUR) 80 79
159 Aykary Whynn Htun (MYANMAR) 78 81
159 Angel Hii (SARAWAK) 78 81
160 Allycia Gan Phiek Wen (SELANGOR) 82 78