Oleh Muhammad Aiman
Ratu skuash negara, Dato’ Nicol David tersingkir di peringkat separuh akhir Kejohanan Skuash Terbuka Netsuite, San Francisco setelah tewas kepada jaguh tuan rumah yang juga juara bertahan, Amanda Sobhy sebentar tadi.
Bekas pemain nombor satu dunia itu bermula dengan langkah kanan apabila menang set pertama yang berlangsung sengit 12-10, namun tewas tiga set berikutnya 11-5, 11-2, 11-5 dalam masa 41 minit di Justin Herman Plaza.
Kekalahan juara dunia lapan kali itu bermakna dia terus kempunan memburu gelaran pertamanya bagi musim ini dan lebih malang gagal melepasi halangan separuh akhir di tiga kejohanan berturut-turut.
Setelah tewas di separuh akhir Kejohanan Dunia kepada Raneem El Welily Mei lalu, Nicol gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Hong Kong pada Ogos apabila disingkirkan di separuh akhir oleh Nouran Gohar sebelum kecundang di peringkat suku akhir Terbuka Al Ahram minggu lalu, tewas kepada pemain muda England Sarah Jane Perry.
Ini sekaligus memberi petanda bahawa era kegemilangan ratu skuash negara itu sudah tiba ke penghujungnya apatah lagi pada usia 33 tahun, sukar untuk kudratnya bertahan tatkala lebih ramai pemain-pemain muda mula menonjolkan diri.Â
Manakala bagi Amanda, pemain pilihan ketujuh yang muncul juara dengan menewaskan Sarah tahun lalu, ianya adalah kemenangan pertama kariernya ke atas Nicol dan dia semakin membara untuk mempertahankan kejuaraan di hadapan penyokong sendiri apabila berdepan juara dunia, Laura Massaro dalam aksi final pada Ahad.
Laura, pemain nombor dua dunia yang juga pilihan utama layak setelah menundukkan pemain New Zealand, Joelle King dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal.
Pemain England itu bangkit dari ketinggalan 9-10 untuk menang 12-10 di set pertama, sebelum mudah memenangi dua set berikutnya 11-5, 11-4 dalam masa 33 minit sekaligus melangkah buat kali pertama ke final kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan $50,000 itu.
“Saya ketinggalan di set pertama, dan ia menunjukkan betapa saya hilang fokus, selain skill Joelle yang bagus. Saya pastikan saya memberi tumpuan penuh terhadap game plan yang telah ditetapkan pada dua set berikutnya dan itu adalah kekuatan sebenar saya. Menang atau kalah, yang penting fokus sepenuhnya adalah di atas gelanggang,” kata Laura.