Oleh Muhammad Aiman
Mereka tidak mahu menjanjikan sebarang kejutan, tetapi apa yang pasti beregu badminton negara yang akan bertanding di Sukan Olimpik bulan depan tidak mahu pergi ke Rio De Janeiro sekadar untuk melengkapkan jadual pertandingan.
Walaupun tumpuan lebih terarah kepada acara perseorangan lelaki menerusi Dato’ Lee Chong Wei yang menjadi sandaran utama menoktahkan kemarau emas kontinjen negara, barisan pemain beregu turut tidak mahu ketinggalan membanggakan nama negara di pentas temasya sukan terbesar dunia itu,
Pemain beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong berkata, “Memang kita tidak mahu pulang dengan tangan kosong, tentu ianya suatu yang hebat jika kami dapat bawa pulang sesuatu untuk dibanggakan dari sana tetapi ia bukan mudah kerana kita boleh jangkakan saingan sengit dari setiap pasangan yang akan bertanding di Rio.
“Kita tidak boleh kata hanya pemain pilihan sahaja yang berbahaya atau perlu diberi tumpuan. Adalah penting untuk kami fokus dalam menjalani latihan dan persiapan. Kami janji berikan yang terbaik dan jika berada pada prestasi terbaik, kita tidak bermasalah pergi jauh,” kata Wee Kiong yang ketika ini berada di kedudukan 10 dunia bersama gandingannya Goh V Shem.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat dari acara beregu adalah genap 20 tahun lepas ketika di Atlanta 1996, menerusi gandingan sensasi Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock yang meraih pingat perak setelah tunduk kepada gandingan Indonesia, Ricky Subagja/Rexy Mainaky.
Sebelum itu di Athens 1992, Malaysia meraih pingat gangsa menerusi gandingan adik-beradik Razif/Jalani Sidek.
Sementara itu, pemain beregu campuran Goh Liu Ying pula berpendapat suasana pertandingan Olimpik yang berbeza dengan pertandingan lain yang pernah disertai sebelum ini, mungkin memberi tekanan tambahan namun tidak mahu menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berikan yang terbaik.
“Persiapan kami di landasan yang tepat, rasa agak gementar juga kerana bertanding di Olimpik tidak sama dengan pertandingan lain, ia peluang yang datang cuma empat tahun sekali dan bukan semua berpeluang merasainya. Sudah tentu saya dan (Chan) Peng Soon mahu meneruskan rentak cemerlang sepanjang tahun ini di sana nanti.
“Saya tidak berani untuk katakan kami boleh buat kejutan, tetapi kami janji yang terbaik dan kami harap sokongan berterusan dari semua rakyat Malaysia,” ujar naib juara Terbuka Malaysia 2016 itu.
Wee Kiong, Liu Ying, V Shem dan Peng Soon pada Khamis menandatangani kontrak sebagai duta jenama 100PLUS, minuman isotonik No. 1 di Malaysia.
Empat pemain itu, bersama-sama pemain remaja meningkat naik, Goh Jin Wei menyertai jaguh badminton dunia, Dato’ Lee Chong Wei sebagai duta jenama 100Plus di Malaysia.
Pengurus Pemasaran 100PLUS, Leong Wai Yin yang ditemui selepas majlis tersebut berharap penajaan ini akan menjadi suntikan tambahan buat atlet-atlet ini untuk cemerlang di Olimpik nanti.,
“Seperti juga Datuk Lee, kesemua lima pemain itu menepati kehendak tema 100PLUS iaitu “Dahagakan Kejayaan”. Mereka mempunyai keinginan dan kemampuan tinggi untuk menjadi yang terbaik di dunia. Kami berharap menerusi penajaan ini, mereka akan lebih bersemangat untuk menggapai kejayaan di pentas dunia.
“Kami mendoakan kejayaan mereka pada saingan penting di Rio de Janeiro di Brazil bulan depan. Bagi Jin Wei yang tidak akan bertanding Rio, kami yakin beliau akan terus berusaha meningkatkan pencapaian untuk muncul sebagai pemain bertaraf dunia,” kata Wai Yin.
Sejak beberapa tahun sebelum ini, 100PLUS telah menaja pelbagai acara dan aktiviti sukan di seluruh negara.
Baru-baru ini, 100PLUS mengumumkan penajaan ke atas Sukan SEA dan Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017. Untuk rekod, 100PLUS merupakan Minuman Isotonik Rasmi bagi Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Sukan SEA 2015 di Singapura.