chan-peng-soon-goh-liu-ying

Oleh Ku Mohd Lufti

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria mengharapkan kebangkitan semula oleh bergu campuran nombor satu negara, Chan Peng Soon – Goh Liu Ying susulan kekalahan mengejut di Terbuka Macau baru baru ini.

Peng Soon – Liu Ying tewas kepada gandingan China, Zhang Nan – Li Yinhui di pusingan suku akhir.

Malah, Datuk Seri Norza berpendapat, pemain pemain junior semakin menunjukkan kematangan dan telah membuktikan mereka bersedia untuk mencabar pemain pemain senior.

“Saya berharap pasangan senior mesti mengekalkan konsistensi mereka (dalam setiap kejohanan disertai), bersesuaian dengan kedudukan mereka selepas berakhir Sukan Olimpik Rio (Ogos lepas).

“Saya lihat pasangan kedua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menunjukkan persembahan cemerlang sejak kebelakangan ini, cuma saya berharap pemain senior menjadi panduan (kepada pemain muda),” kata Norza.

Tambahnya lagi selain bergu campuran, dua bergu wanita negara Vivian Hoo Kah Mun – Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean juga tidak boleh dinafikan peningkatan prestasi mereka.

Sementara itu, Datuk Seri Norza turut mengharapkan sedikit ruang diberikn kepada bergu lelaki negara, Goh V Shem – Tan Wee Kiong.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 yang juga gandingan nombor satu dunia ini turut berdepan masalah prestasi apabila seringkali pulang awal.

Tiga kejohanan terakhir Super Series yang disertai V Shem dan Wee Kiong (Terbuka Perancis, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong) tidak begitu memberansangkan.

Goh V Shem – Tan Wee Kiong hanya mampu beraksi di pusingan pertama sahaja sebelum tewas kepada lawan masing masing di Terbuka Perancis dan China.

Namun, persembahannya V Shem dan Wee Kiong kembali positif selepas berjaya melangah sehingga ke peringkat suku akhir di Terbuka Hong Kong.

Peringatan turut diberikan kepada V Shem dan Wee Kiong agar tidak memandang rendah cabaran kuasa utama badminton dunia, China yang menghantar pasangan muda sejak kebelakangan ini.

“Semua keputusan cemerlang sudah mereka (Goh V Shem – Tan Wee Kiong ) raih sejak kembali dari Sukan Olimpik Rio termasuk muncul juara Siri Super Terbuka Denmark (Oktober lepas), cuma bagaimana mereka hendak kekalkan konsistensi supaya terus kekal (bersaing) di peringkat tertinggi,” katanya lagi.

- Advertisement -