Oleh Ku Mohd Mufti
Impian buat jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei untuk memburu gelaran juara All England kali ketiga kian hampir selepas mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir.
Diletak selaku pilihan utama kejohanan, Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil China Tian Houwei, dengan kemenangan straight set  21-12, 21-15 di suku akhir.
Menanti Chong Wei di separuh akhir adalah pemain kelahiran Taiwan Chou Tien Chen yang menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk dalam pertarungan tiga set 21-19, 16-21, 21-8 untuk menempah tiket ke separuh akhir.
Seorang lagi pemain yang dijangka menjadi tumpuan, Lin Dan, turut mara selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengenepikan bintang Denmark, Viktor Axelsen, 8-21, 21-14, 21-15.
Lin Dan akan berdepan rakan senegara, Shi Yuqi yang mengesahkan slot separuh akhir dengan menewaskan pemain Jepun, Kazumasa Sakai 21-13, 21-4.
Dalam pada itu, gandingan bergu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mengikuti jejak Chong Wei selepas menang ke atas Wang Yilyu-Huang Dongping dari China, 23-21, 21-14.
Peng Soon dan Liu Ying akan berdepan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun yang berjaya mengatasi Yoo Yeon Seong-Kim Ha Na dari Korea Selatan, 21-17, 18-21, 22-20.
Perjuangan bergu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula sekadar sehingga peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Li Junhui-Liu Yuchen dari China 19-21, 21-17, 19-21.