Kalendar baru Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS membawakan lapan pusingan yang hanya akan dianjurkan di litar tetap.
Sehubungan itu, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini kini mula mengatur strategi bersama pelumba-pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing untuk mencari manfaat sepenuhnya dari situasi ini.
“Semua perlumbaan musim ini akan dipertandingkan di litar tetap seperti Sepang, Tangkak dan Kuala Terengganu.
“Ini untuk mentaati SOP baru di mana penonton masih belum dibenarkan di acara-acara sukan.
“Penganjuran perlumbaan di litar-litar tetap adalah satu-satunya kaedah yang terbaik untuk menepati syarat tersebut,” jelas Yuzy.
“Selepas jadual perlumbaan baharu diumumkan Isnin lepas, ramai juga peminat yang mula bertanya-tanya apakah jadual baru ini membawakan kelebihan kepada pasukan dan pelumba Honda.
“Tidak dinafikan, terutamanya dalam kategori perdana CP150, ciri-ciri jentera Honda RS150 sememangnya mempunyai kelebihan di litar-litar yang lebar dan panjang.
“Namun demikian, pelumba-pelumba kami harus menggunakan pendekatan strategik dalam perlumbaan nanti.”