Karl Heinz Weigang; Untuk rekod, pengendali dari Jerman ini pernah membimbing Perak dari 1997 hingga 2000 sebelum sekali lagi tampil bersama skuad ini selaku penasihat teknikal pada 2014. Kredit Foto – Stadiumastro.com


Oleh Muhammad Aiman

Empat mata dari dua perlawanan pertama masih tidak memadai untuk puaskan hati pengendali Perak, Karl Heinz Weigang yang menuntut aksi lebih berkualiti para pemainnya apabila berdepan pula dengan Melaka pada Sabtu ini.

Jurulatih paling veteran dalam arena bolasepak tempatan itu berkata dengan skuad berpengalaman yang dimilikinya, keputusan positif semata-mata tidak memadai seandainya pemain tidak bermain dengan menterjemahkan ilmu bolasepak yang betul.    

“Saya mahu barisan pemain saya bermain bolasepak cantik, menunjukkan permainan yang bermutu, bukan sekadar turun dan menyepak bola di atas padang. Kadang-kadang ianya sangat sukar untuk membuatkan pemain faham apa yang saya mahukan.

“Jika nak menang kena main ‘bola sepak’ kalau tidak apa-apa pun cara sekalipun pasti tidak menjadi.” Karl Heinz Weigang, Jurulatih pasukan Perak. Kredit Foto – Stadiumastro.com

“Bagi saya, bolasepak perlu dimainkan di atas tanah, di atas padang, bukannya di ‘langit’, bukannya menyepak bola ke awan. Ketika perlawanan pertama, pemain-pemain banyak sangat bermain bola tinggi, tetapi di perlawanan kedua ada perubahan di mana mereka bermain hantaran-hantaran pendek.

“Memang mereka sedang menunjukkan perkembangan yang baik dan memerlukan sekurang-kurangnya 3-5 perlawanan lagi untuk betul-betul cergas, dan saya berharap mereka akan bertambah baik bila kita berdepan Melaka nanti,” kata Weigang yang kembali melatih Perak buat kali ketiga bermula musim lalu.

Perak yang dilabel pencabar kejuaraan kali ini setelah merekrut beberapa pemain tempatan berprofil tinggi, memulakan musim dengan keputusan seri 1-1 menentang Pahang di Ipoh, sebelum mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang menerusi jaringan Shahrul Saad pada Jumaat lalu.

“Ketika menentang Pulau Pinang tempoh hari, kita sepatutnya boleh menang dengan jaringan lebih besar, kita mendominasi perlawanan tapi kita bazirkan banyak peluang. Sebab itu saya katakan pemain perlu bermain dengan bijak, bukan semata-mata turun dan sepak bola.

“Mereka tahu Pulau Pinang ada dua pertahanan tinggi lampai, tetapi pemain sayap saya berterusan melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti, ianya tidak betul. Mereka perlu lebih bijak dan mereka tahu saya seorang yang tegas, saya tidak akan sentiasa memberi peluang ketiga, keempat seandainya kesilapan sama terus berulang,” tegas Weigang.

- Advertisement -