Oleh Muhammad Aiman
Jika Dato’ Ong Kim Swee menyatakan rasa terkejut kerana khidmatnya masih ditagih Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengemudi skuad Sukan SEA negara, berbeza ceritanya dengan bekas jurulatih skuad itu Frank Bernhardt.
Pengendali dari Jerman itu berkata dia tidak langsung terkejut dengan keputusan Tunku Mahkota Johor itu menamatkan khidmatnya kerana sudah menduga situasi ini akan terjadi apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan.
“Apabila ada individu baru mengambil alih kepimpinan, mereka mahukan sesuatu yang baru dan rombakan seperti ini akan berlaku. Saya perlu sentiasa bersedia dan walaupun tanggungjawab saya belum selesai, saya akur dengan keputusan ini.”
Bernhardt bercakap kepada pemberita selepas pulang dari tugasan terakhirnya bersama pasukan B-22 negara di Kejohanan Piala Dubai B-23 yang mana mereka menamatkan cabaran di tempat kelima.
Mengulas lanjut mengenai pemecatannya, Bernhardt yang sedang mempersiapkan skuad bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berkata dia tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu dan hanya mengetahuinya melalui laporan media ketika berada di Dubai.
Justeru pengendali berusia 47 tahun itu yang dilantik menggantikan Ong Kim Swee pada penghujung 2015 akan mengadakan pertemuan bersama FAM dengan kadar segera bagi membincangkan dan mendapat gambaran lebih lanjut mengenai statusnya.
Pengumuman mengenai pemecatan Bernhardt dan pelantikan Kim Swee untuk kembali membimbing skuad Sukan Sea negara dibuat Tunku Ismail dalam sidang media pertamanya sebagai Presiden FAM pada 25 Mac lalu, sejurus berakhir Kongres Pemilihan FAM ke-53.
Dalam sidang media tersebut, Tunku Ismail menjelaskan bahawa perbezaan ideologi dan cara bekerja adalah antara sebab mengapa keputusan menamatkan khidmat Bernhardt terpaksa dibuat dan jurulatih itu tidak mahu memberi maklumbalas lanjut mengenainya.