Musim 2021 mahu segera dilupakan buat pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang lebih dikenali dengan Beto selepas gagal menyerlah bersama PJ City FC.
Menurut pemain berusia 27 tahun ini, sememangnya dia kecewa apabila tidak mendapat banyak minit permainan semasa di PJ City namun apa yang terjadi belum membuatkannya untuk terus berputus asa sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Justeru, dia menghargai ruang diberikan oleh Sarawak United bagi membina semula kariernya sambil memberikan penghargaan kepada jurulatih, E.Elavarasan serta B.Satianathan (Pengarah Teknikal Sarawak United) yang masih mempercayai kemampuannya untuk beraksi di pentas tertinggi.
“ Di PJ City, mungkin ada pemain yang lebih bagus di posisi tengah atau corak permainan saya tidak begitu masuk dengan corak taktikal yang menjadikan sukar untuk saya beraksi sepanjang musim lalu.
“ Tidak dinafikan akibat kurang bermain dalam tempoh beberapa musim terakhir ini termasuk semasa di Perak, keyakinan saya sudah sedikit sebanyak ada rasa terjejas.
“ Namun semangat untuk saya berjuang bagi mendapatkan kembali rentak seperti dahulu masih belum hilang dan selagi ada peluang, saya sama sekali tidak akan berputus asa.
“ Jadi, saya hadir ke Sarawak United adalah ingin membuktikan semula siapa diri saya dan anggap ini sebagai peluang kedua dalam karier.
“ Saya ucapkan terima kasih kepada Elavarasan serta Satianathan yang masih sudi memanggil saya ke sini biarpun musim lalu, mereka ada berbuat demikian namun saya sudah nyatakan komitmen dengan PJ City, ” katanya.
Beto yang berasal dari Teluk Intan begitu menyerlah di awal kariernya semasa pembabitannya bersama Perak ketika di usia 20 tahun serta sering kali menjadi pilihan mendiang Karl Heinz Weigang di dalam kesebelasan utama.
Malah, aksi cemerlangnya itu menjadikan dia turut mendapat panggilan skuad kebangsaan pada tahun 2017 untuk mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Namun, tiga musim terakhir di Perak, Beto bergelut bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dan banyak digunakan selaku pemain gantian.
Sementara itu, Beto akui dia perlu menggandakan usaha jika mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama di Sarawak United sambil menyifatkan ramai pemain boleh memberikan saingan seperti Stuart Wark dan Raja Imran Shah.
“ Sebelum saya memikirkan pemain lain, saya kena perbaiki terhadap apa yang kurang terhadap diri ini jika mahu mendapatkan tempat dalam pasukan.
“ Saya boleh bermain di posisi 6 atau 8 di bahagian tengah, kedua-duanya saya tidak berdepan sebarang masalah dan semuanya terpulang kepada perancangan jurulatih, ” katanya.