Oleh Muhammad Aiman
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengambil sikap kunci mulut untuk tidak mendedahkan apakah bukti penyelewengan membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditemuinya di dalam pendrive kontroversi yang diperoleh dari Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.Â
Sebaliknya, Khairy yang meluangkan masa menyerahkan bahan bukti berkenaan kepada Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki pada Jumaat sekali lagi menegaskan pendrive itu hanya mengandungi dokumen berkaitan soal teknikal pengurusan bolasepak.
Justeru, menurutnya adalah lebih baik SPRM sendiri menentukan sama ada wujud unsur rasuah atau tidak selepas meneliti isi kandungan pendrive itu yang disertakan bersama senaskhah laporan bercetak sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Kandungan pendrive itu adalah sepertimana diserahkan kepada saya oleh TMJ. Saya cuma buka untuk membaca, dicetak dan pendrive sama saya serahkan kepada SPRM. Terpulang kepada mereka untuk menentukan sama ada wujud unsur rasuah atau penyelewengan di dalam laporan tersebut,” katanya.
Begitupun, memandangkan isu pendrive itu kini sudah menjadi kepentingan awam, Khairy memberi jaminan bahawa sebarang hasil dari penyiasatan SPRM akan tetap didedahkan kepada umum.
“Saya mencadangkan kepada SPRM memandangkan isu ini telah menjadi kepentingan awam. Mereka memberikan kepada saya satu laporan yang mana akan saya dedahkan. Mereka bersetuju tetapi meminta masa untuk menjalankan siasatan,” jelas Khairy yang ditemui pemberita di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Untuk rekod, kontroversi pendrive tercetus apabila TMJ pada bulan lalu mendakwa mempunyai pendrive yang diperolehnya dari seorang rakan berpangkat tinggi dalam FAM, di mana ia dikatakan mengandungi pelbagai bukti penyelewengan dan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia 2015 serta laporan audit merepek.
Setelah membuat beberapa pendedahan termasuk memuatnaik beberapa halaman dari dokumen berkenaan di laman Johor Southern Tigers, TMJ mengambil keputusan untuk menyerahkan pendrive itu kepada Khairy atas alasan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan FAM.
Manakala FAM pula dalam sidang media pada Khamis menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPRM sekiranya dipanggil, dalam masa sama mahu menyiasat siapakah dalang yang bertanggungjawab membocorkan maklumat itu.