PELUMBA Malaysia menyarung jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL)? Tiada yang mustahil.
Jaguh Terengganu Cycling Team (TSG), Hariff Saleh percaya, standard pelumba negara kini sudah meningkat dan menyamai pelumba luar.
Edisi ke-25 LTdL yang berakhir di Langkawi semalam membuktikan, banyak sejarah lagi mampu dicipta, apatah lagi Malaysia turut memiliki ramai bakat muda.
“Memang kita sama standard (dengan pelumba antarabangsa). Anuar Manan sudah menang (peringkat) 10 tahun lalu, sejak itu saya rasa tidak mustahil ada pelumba lain yang boleh menang lagi.
“Tahun lepas saya akhirnya memenangi satu peringkat, kali ini saya menang dua peringkat.
“Kita juga sudah ada pelumba yang memenangi jersi hijau (Raja Pecut, Anuar LTdL 2010), jersi merah (Nur Aiman Zariff, Raja Bukit 2020) dan jersi putih (Adiq Husainie Othman, terbaik Asia 2016), jadi tiada yang mustahil,” kata Hariff.
Hariff, 32, yang lebih dikenali sebagai Mamat bagaimanapun mengakui, untuk memenangi jersi kuning adalah jauh lebih sukar.
Begitupun, ia bergantung kepada perancangan pasukan dan bagaimana mereka mempersiapkan pelumba.
“Nak jadi juara perlumbaan memang sukar tetapi kita tengok kepada perancangan. Bagi saya, LTdL adalah keutamaan,” kata Hariff lagi.
Hariff memahat sejarah muncul pelumba Asia pertama menang tiga peringkat LTdL manakala Nur Aiman muncul pelumba Malaysia terbaik pada edisi kali ini dengan menduduki tangga ke-35 daripada 107 peserta (yang melengkapkan jelajah).
Dua pelumba pasukan Malaysia, Danieal Haikal Eddy Suhaidee dan Muhammad Ameer Ahmad berada di tempat ke-44 dan 48.