Jika Selangor berhasrat menambah koleksi trofi Piala FA di dalam kabinet mereka dengan menewaskan Pahang dalam aksi final pada Sabtu, mereka perlu mengharapkan penyerang sensasi yang juga penjaring terbanyak, Rufino Segovia berada dalam prestasi terbaiknya.
Jika pemain dari Sepanyol itu gagal memuncak, Red Giants dilihat sukar untuk mengulangi kejayaan yang dilakar lima kali sebelum ini pada 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009. Bukan memandang rendah pada kualiti pemain lain yang Selangor ada, tetapi dalam saingan musim ini, Rufino adalah sebab kenapa Selangor berada di final.
Dia menjaringkan sembilan gol secara keseluruhan dan pada setiap pusingan – satu ketika menewaskan MOF FC di pusingan kedua, dua ketika menyingkirkan Terengganu di pusingan ketiga, dua ketika menyingkirkan Kuala Lumpur di suku akhir dan empat gol di separuh akhir ketika menewaskan PKNS FC.
Jadi, tidak keterlaluan untuk mengatakan hajat besar pasukan Selangor untuk mendakap kejuaraan buat kali keenam di Stadium Nasional Bukit Jalil bergantung sepenuhnya kepada Rufino. Apakah Rufino akan mengganas sekali lagi dan menjadikan malam final ini sebagai miliknya?
Atau Dollah Salleh mempunyai strategi tersendiri untuk menyekat amukan pemain itu?
Bagi Dollah yang cukup berpengalaman dalam arena bolasepak tempatan dan pernah menjulang trofi ini bersama Selangor pada 2005, dia sebenarnya tidak mahu barisan pertahanannya terlalu fokus kepada Rufino dan terlepas pandang akan pemain lain yang mungkin boleh membawa padah.
Dollah membawa Pahang ke final dengan menyingkirkan juara bertahan Kedah di pusingan ketiga dan juara Liga Super Johor Darul Takzim dengan penuh bergaya di peringkat suku akhir, jadi ia tentunya satu kerugian jika mereka tidak dapat melengkapkan perjalanan penuh berliku itu dengan nota kejayaan.
Bisa Segovia, atau magis Dollah? Ayuh rasai kehangatannya di Stadium Nasional Bukit Jalil. Aksi final Piala FA edisi ke-29 antara Selangor dan Pahang pada 7 Julai (Sabtu). – OLEH MUHAMMAD AIMAN