Penang Black Panthers membuka tirai aksi Sepaktakraw League (STL) Champions Cup dengan langkah kanan setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas ke atas Melaka Titans dalam aksi pertama Kumpulan A di Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya pada Jumaat.
Masih segar dengan kejayaan muncul STL Premier pada minggu lalu, Penang Black Panthers bimbingan Sufian Napiah turun dengan keyakinan dan motivasi cukup tinggi berdepan Melaka Titans yang merupakan juara Divisyen Satu STL.
Gandingan tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan Azlan Alias bersama-sama pemain yang dipinjam dari Selangor Pistons, Farhan Adam menterjemahkan keyakinan itu dengan cemerlang di atas gelanggang apabila tampil dengan permainan bertenaga untuk mudah memenangi set pertama dengan keputusan 21-10.
Melaka Titans yang menggandingkan Sahidan Md Ali, Zarlizan Zakaria dan pemain pinjaman dari Negeri Sembilan Antlers, Khairol Zaman Hamir Akhbar cuba bangkit memberi tentangan di set kedua namun akhirnya akur dengan kekalahan 19-21.
Pengurus Penang Black Panthers, Zulfazlee Kamaruzaman memuji karakter ditunjukkan barisan pemainnya dan berharap momentum sama dapat diteruskan apabila berdepan dengan Perak Bison pada Sabtu.
“Sudah tentu ia cukup positif untuk bermula dengan kemenangan, tetapi kita tidak boleh leka kerana masih ada dua perlawanan yang penting. Satu lagi kemenangan akan melayakkan kita ke separuh akhir jadi saya harap kemenangan ini memberikan mereka motivasi untuk bermain lebih baik dalam perlawanan yang seterusnya.
“Ini adalah kali pertama STL Champions Cup dianjurkan, jadi sasaran kami adalah mencipta sejarah muncul sebagai juara pertama. Saya yakin peluang itu ada tetapi kita sedar ia bukan mudah kerana kesemua lapan pasukan termasuk dari Thailand dan Indonesia tampak hebat dan sukar dijangka kekuatan mereka. Jadi apa yang boleh kami lakukan adalah buktikan di atas gelanggang siapa lebih bagus,” kata Zulfazlee.
Untuk rekod, STL Champions Cup berlangsung membabitkan lapan pasukan iaitu empat pasukan teratas STL Premier (Black Panthers, KL Thunder, Perak Bison dan Kelantan Warriors ); dua pasukan teratas Divisyen Satu (Melaka Titans dan PDRM Defenders) serta dua pasukan jemputan iaitu Manang City Voyagers (Thailand) dan Andalas Islanders (Indonesia).
Sementara itu, aksi pertama Kumpulan B pula menyaksikan naib juara STL Premier, Kuala Lumpur Thunder yang membariskan Zulkifli Razak-Amirul Zazwan Amir-Norhafizi Razak menewaskan naib juara Divisyen Satu, PDRM Defenders 2-0 (23-21, 21,10). – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Keputusan (24 November) :
Kumpulan A : Penang Black Panthers mng Melaka Titans (2-0; 21-10, 21-19)
Kumpulan B : KL Thunder mng PDRM Defenders (2-0; 23-21, 21-10)