Black Panthers mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Sepaktakraw League (STL) Premier setelah bangkit dari kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 2-1 (10-21, 24-22, 21-13) ke atas Selangor Pistons di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya pada Jumaat.
Kemenangan itu adalah yang keenam dari tujuh perlawanan buat regu bimbingan Helmi Ismail yang pada satu ketika dilihat menghampiri kekalahan kedua setelah tewas mudah di set pertama.
Black Panthers yang mempertaruhkan gandingan Syahir Rosdi-Suhairi Sulaiman-Azlan Alias di awal set pertama seperti biasa âlambat panasâ dan cenderung melakukan kesilapan mudah antaranya servis yang beberapa kali kandas di jaring membolehkan Selangor Pistons dibarisi Azman Hamid-Muqlis Borhan-Norshahrudin Ghani unggul mendominasi permainan.
Kemasukan Fazil Asri bagi menggantikan Syahir di pertengahan set pertama tidak membantu mereka untuk memberi tentangan apabila tewas 10-21.
Namun set kedua berlangsung lebih sengit dengan kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehinggalah kedudukan terikat 22-22 sebelum dimenangi Black Panthers 24-22.
Set ketiga tampak lebih mudah buat pasukan juara bertahan itu tatkala Selangor Pistons kendalian Zamzee Zainuddin kelihatan tidak segarang dua set pertama. Black Panthers membuktikan mereka sememangnya berada satu kelas lebih tinggi dari lawan mereka itu dengan menunjukkan ketahanan mental dan fizikal yang baik untuk mengesahkan kemenangan 21-13.
Ia adalah kekalahan kelima secara keseluruhan dan ketiga berturut-turut buat Selangor Pistons dalam saingan STL Premier musim ini. Keputusan ini juga menyaksikan mereka kekal menghuni tangga kedua terbawah.
Dalam satu lagi aksi, Perak Bison dibarisi trio Meor Zulfikar Mat Amin-Hafiz Zulkifli-Fadzil Mustafa melakar kemenangan keempat dengan menewaskan Kuala Lumpur Thunder yang menurunkan tiga tonggak berpengalaman Aizat Nor Azmi-Amirul Zazwan Amir-Norhafizi Razak dengan keputusan 2-0 (21-17, 21-17).
Kemenangan membolehkan pasukan bimbingan Ismi Hissan Ismail melonjak ke kedudukan ketiga manakala KL Thunder yang mengalami kekalahan ketiga berturut-turut kekal di kedudukan keenam.
Sementara itu, aksi Divisyen Satu STL turut membuka tirainya pada Jumaat dengan berlangsungnya enam perlawanan. Pahang Mammoth melonjak selaku pendahulu awal setelah menewaskan Labuan Oilers 2-0 (21-12, 21-15) diikuti PSM Mavericks yang menewaskan Kedah Eagles 2-0 (21-17, 21-17).
Aksi lain menyaksikan Melaka Titans menewaskan Putrajaya Cyborg 2-0 (22-20, 23-21), PDRM Defenders mencatat kemenangan 2-1 (12-21, 21-14, 21-9) ke atas Perlis Vipers, PSM Knights menewaskan Sarawak Hunter 2-1 (7-21, 21-6, 21-18) dan Negeri Sembilan Antlers tewas kepada Sabah Mountaineers 2-1 (21-23, 21-11, 17-21). – OLEH MUHAMMAD AIMAN