Oleh Ku Mohd Lufti
Kehangatan saingan lumba berbasikal tertua di Asia, Le Tour de Langkawi yang akan bermula kurang dua minggu lagi semakin dirasakan.
Perbualan utama daripada penganjur terus berkisar kepada pengganti Adiq dalam misi mempertahankan Jersi Putih atau pelumba Terbaik Asia LTdL 2017.
Adiq sah tidak akan beraksi bagi edisi tahun ini susulan kecederaan lutut dan digantikan dengan Mohd Shahrul Mat Amin.
Selain Shahrul Mat Amin, lima lagi pelumba yang disenarai Terengganu Pro Asia Cycling adalah Anuar Manan, adik beradik Zamri dan Hariff Salleh, Nur Amirul Fakhruddin serta pelumba dari Indonesia Dadi Suryadi.
Penaja utama Jersi Putih LTdL 2017 BMW Group Malaysia turut melontarkan cabaran kepada pelumba pelumba negara untuk tampil mempertahankan jersi tersebut.
Ia disuarakan Ketua Korporat Komunikasi BMW Group Malaysia, Shashi Ambi yang berpendapat, pencapaian yang dilakukan Adiq merupakan inspirasi buat sukan berbasikal di Malaysia.
Melihat pelumba negara meraih kemenangan berturut turut merupakan satu pencapaian yang menakjubkan dalam sukan di Malaysia dan pencapaian ini yang kami mahu lihat.”Kata Shashi di sidang media pengumuman BWM sebagai penaja rasmi Jersi Putih LTdL di sebuah hotel di Seri Kembangan pagi tadi.
Selain menaja Jersi Putih, BMW Group Malaysia juga turut menyediakan 200 kenderaan berupa kereta model 3 series dan 5 series serta motorsikal model 1200 GS.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Le Tour de Langkawi, Emir Abdul Jalal mengesahkan, senarai lengkap 120 pelumba yang akan berkayuh di LTdL 2017 masih belum dimuktamadkan.
Ini kerana kebanyakkan pasukan dijangka melakukan perubahan senarai pelumba meskipun berbaki sehari sahaja lagi sebelum perlumbaan bermula.
LTdL edisi 2017 akan bermula dari 22 Februari hingga 1 Mac bermula dari Terengganu dan berakhir di Putrajaya dengan jarak keseluruhan 1222.2 Kilometer.