Oleh Muhammad Aiman
Kurang 24 jam setelah gagal melayakkan diri untuk beraksi di Piala Malaysia, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang tidak menunggu lama untuk mencari penyelesaian terhadap prestasi buruk mereka musim ini apabila membawa masuk bekas pengendali Johor Darul Takzim II, Nenad Bacina sebagai ketua jurulatih baru pasukan.
Walaupun belum ada pengumuman rasmi, Naib Presiden FAP, Datuk Gary Nair mengesahkan perkara itu sebagai menjawab persoalan mengenai kehadiran Bacina bersama-sama Bojan Hodak di Stadium Bandaraya bagi menyaksikan perlawanan menentang Felda United.
“Semua orang kecewa dengan prestasi pasukan, kecewa gagal ke Piala Malaysia. Jadi kami akan buat perubahan. Kami akan menukar jurulatih dengan melantik Bacina yang akan turut bertindak sebagai pengurus pasukan.
“Dan Bojan Hodak telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Apa nak jadi, kita tunggu dan lihat,” jelas Gary.
Bojan yang berpengalaman membawa Kelantan muncul juara treble 2012 dan JDT pada 2015 adalah antara nama berprofil tinggi yang dikaitkan dengan Pulau Pinang sejak beberapa musim lalu.
Mengenai kontrak jurulatih yang direhatkan, Jacksen Tiago, Gary menjelaskan bahawa pengendali dari Brazil itu masih mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini dan perbincangan penamatan kontrak masih berjalan, termasuk pampasan yang perlu dibayar FAP.
Pulau Pinang layak ke Liga Super setelah muncul naib juara Liga Perdana musim lalu. Namun, musim pertama mereka sekembalinya ke saingan elit bolasepak tempatan nyata tidak seperti diharapkan apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam 11 perlawanan Liga Super.
Kekalahan terbaru kepada Felda pada Rabu menyaksikan Harimau Kumbang gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia berdasarkan format baru yang diperkenalkan tahun ini, manakala dalam saingan Piala FA, mereka tersingkir seawal pusingan kedua setelah kecundang kepada Kuantan FA.