Meskipun menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) B-18 selaku juara berikutan keputusan seri 1-1 menentang Thailand pada Selasa, pengendali pasukan B-19 negara Bojan Hodak tidak mahu cepat berpuas hati.
Malaysia mendahului pada minit ke-49 menerusi jaringan Nik Akif Shahiran Nik Mat namun Thailand menyelamatkan satu mata menerusi jaringan penyamaan Kritsada Kaman yang memanfaatkan kesilapan pertahanan sekaligus menyaksikan kedua-dua Malaysia dan Thailand mengakhiri saingan Kumpulan A dengan 13 mata. Malaysia muncul juara dengan beza jaringan.
Bagi Bojan, dia gembira untuk mengekalkan rekod bersih tidak tewas dalam lima perlawanan terutama ketika menentang Thailand yang dilabel skuad terbaik Asia Tenggara namun menjelaskan masih banyak aspek perlu dipertingkatkan jika mahu melangkah lebih jauh.
“Secara keseluruhan untuk berkesudahan selaku juara kumpulan dengan mengatasi Thailand, sudah tentunya satu pencapaian bagus. Saya yakin tiada siapa jangkakan kita boleh mara sejauh ini apatah lagi dengan rekod buruk tahun lalu.
“Tapi tiada apa untuk kita dabik dada, dalam perlawanan menentang Thailand umpamanya, pasukan itu bermain lebih baik secara teknikal, cuma kita mempunyai lebih peluang. Kita bertahan dengan baik, menunjukkan disiplin baik di pertahanan kecuali ketika melepaskan gol yang mudah itu.
“Saya mahu pemain terus bekerja keras dan meningkatkan kualiti. Saya tidak akan berbangga untuk sekadar layak ke separuh akhir, kita perlu tamatkan perjuangan ini di kedudukan sebaik mungkin. Sasaran pertama (mara ke separuh akhir) sudah tertunai, sekarang usah terbuai dan ayuh fokus kepada sasaran seterusnya,” ujar bekas pengendali Kelantan dan Johor Darul Takzim itu.
Di separuh akhir pada Jumaat, Malaysia yang melakar empat kemenangan berturut-turut ke atas Laos, Singapura, Timor Leste dan Kemboja sebelum ini akan menentang naib juara Kumpulan B yang masih menjadi persaingan antara Vietnam, Myanmar dan Indonesia.
Untuk rekod, pada tahun lalu, cabaran Malaysia yang dibimbing Frank Bernhardt tersekat di peringkat kumpulan setelah tewas kepada Vietnam dan diaibkan Timor Leste. – OLEH MUHAMMAD AIMAN