Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mensasarkan sekurang-kurangnya dua pingat tanpa mengira warna medal pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos ini.
Presiden MAVA, Dr. Hii Sui Cheng berkata, “Dengan persiapan rapi dan latihan yang dibuat sejak 22 bulan lepas serta komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain, kita dapat lihat pasukan ini mampu menyumbang sekurang-kurangnya dua pingat di temasya sukan SEA Ogos ini.”
Bagi menaikkan semangat dan memotivasikan pasukan bola tampar negara, Sui Cheng turut menawarkan ganjaran sebanyak RM50,000 kepada pemain jika mendapat pingat emas dan RM30,000 untuk pingat perak pada temasya Sukan SEA KL2017 ini.
Turut hadir bersama dalam sidang media selepas Mesyuarat lembaga eksekutif MAVA kali ke lima di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Setiausaha MAVA, Joseph Gerard, Naib Presiden MAVA, Choy Teik San, Pembantu Setiausaha MAVA, Md. Nordin Salim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Teknikal MAVA, Yean Lai Haw.
Sementara itu, Timbalan Presiden MAVA, Hanif Basree Abd Rahman berkata beliau amat yakin pasukan bola tampar lelaki negara mampu meraih pingat sekaligus menamatkan kemarau pingat selama 15 tahun sejak Sukan SEA 2011.
“Walaupun mereka ini masih muda, tetapi saya melihat pasukan bola tampar kali ini lebih bertenaga dan mereka mampu untuk mempamerkan prestasi terbaik pada Sukan SEA nanti.
“Lebih Dari 20 bulan berlatih, apa yang dapat saya lihat pemain banyak ‘improvement’ dari segi mental dan fizikal dan saya amat yakin dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan mereka,” katanya ketika ditemui di sidang media.
Dalam masa yang sama, Haniff Basree berkata Thailand adalah gergasi utama dalam sukan bola tampar Asia Tenggara yang kini memburu emas keempat berturut-turut dimenangi sejak Sukan SEA Palembang, 2011.
“Ianya satu kepuasan bgi saya jika pasukan bola tampar negara dapat kalahkan Thailand kerana pasukan Thailand ini lebih berpengalaman sejak dulu lagi”, katanya lagi.
Untuk rekod, kali terakhir pasukan bola tampar lelaki negara menyumbang pingat pada temasya Sukan SEA adalah pada tahun 2001 apabila meraih pingat perak selepas tewas kepada negara jiran, Thailand. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI