9th ASEAN Para Games KL2017 – Football 5-A-Side Mens Team – Malaysia vs Laos

9th ASEAN Para Games 2017 - RIMAU MaskotJuara bertahan Malaysia gagal melangkah ke final bolasepak 5-sebelah (cacat penglihatan) Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 setelah tewas mengejut 1-2 kepada Laos dalam aksi terakhir round robin di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Rabu.

Malaysia yang hanya memerlukan seri untuk mara ke final bermula dengan baik apabila mendahului pada minit ketiga menerusi penalti disempurnakan Rollen Marakim.

Laos yang membuat penampilan sulung di temasya Para ASEAN bagaimanapun bangkit menjaringkan dua gol menerusi Somsak Douangvilay pada minit ke-9 dan 19 sekaligus memastikan tiga mata.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga dengan tiga mata sekaligus tidak dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura.

Thailand yang menewaskan Vietnam 4-1 dalam satu lagi perlawanan mara ke final selaku juara kumpulan dengan sembilan mata. Mereka akan menentang Laos yang berkesudahan di tempat kedua dengan enam mata.

Malaysia pula akan berentap dengan Vietnam yang menduduki tempat keempat kumpulan tanpa sebarang mata dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

 

Apa kata mereka :
Sunny Shalesh (jurulatih Malaysia) : Kita telah bermula dengan baik, mendapat jaringan awal. Mungkin pemain terlalu selesa dengan keadaan itu dan mengambil mudah cabaran Laos. Kita terlalu lambat untuk kembali bertahan setiap kali serangan dipatahkan dan ini membolehkan Laos mengambil kesempatan.

Yoichi Shimano (jurulatih Laos) : Dari awal saya percaya pemain saya ada kualiti untuk melangkah ke final. Mereka telah tunjukkan kesungguhan dan determinasi yang tinggi. Ia bukan perlawanan yang mudah tapi kami tahu Malaysia tertekan, mereka adalah juara bertahan dan ini telah mendorong mereka membuat beberapa kesilapan kecil. Pemain saya serap tekanan dengan baik dan saya gembira kita teruskan kemaraan.”

- Advertisement -