Thailand membuka tirai saingan bolasepak 5-sebelah Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan langkah kanan setelah mencatat kemenangan ke atas juara bertahan, Malaysia di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Isnin.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan pasukan bimbingan Chaiyaporn Na Ayutthaya membalas dendam kekalahan kepada Malaysia dalam aksi final Para ASEAN di Singapura dua tahun lalu.
Pada perlawanan itu, Thailand mendahului seawal minit ketiga menerusi penyerang Kittikorn Boadee namun skuad negara kendalian Sunny Shalesh berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi sentuhan Muhamad Azuan Abdul Rasiad.
Kedua-dua pasukan yang dibarisi oleh empat pemain kategori B1 atau buta sepenuhnya serta penjaga gol normal yang tidak pernah berdaftar dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kemudiannya saling berbalas asakan namun gagal mencari tambahan jaringan sehingga berakhir separuh masa pertama.
Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan seri, Kittikorn mengecewakan hasrat Malaysia untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit akhir permainan.
Menurut Chaiyaporn, “Seperti saya jangka, ia satu perlawanan yang cukup sengit, Malaysia begitu bersemangat dan kami bernasib baik untuk menang. Sudah tentu, untuk meraih tiga mata pada aksi pertama adalah satu suntikan apatah lagi kami datang ke sini tanpa sasaran besar, hanya mahu melakukan yang terbaik sahaja.
Manakala ketua pasukan Malaysia, Amirul Arif Mahadhir berkata, “Pertahanan kita agak pincang mungkin kerana faktor perlawanan pertama, daripada pengalaman lalu kita memang sering beraksi di bawah tahap sebenar pada aksi pertama dan kami akan perbaiki masalah ini dan menghidupkan semula peluang ke final.”
Dalam satu lagi aksi berlangsung selepas itu, pendatang baru Laos mengejutkan penyandang pingat gangsa, Vietnam dengan kemenangan besar 4-1.
Jurulatih Laos, Yoichi Shimano berkata dia sendiri tidak menjangka pasukannya mampu beraksi dengan begitu meyakinkan apatah lagi ini adalah penampilan pertama mereka di pentas Para ASEAN malah tidak didedahkan kepada mana-mana pertandingan sebelum bertandang ke sini.
“Pasukan ini baru berusia setahun berbanding Vietnam dibarisi pemain berpengalaman. Malah sebelum perlawanan semua pemain rasa gementar. Begitupun ketika perlawanan mereka nampak sangat yakin dan bersemangat, saya percaya kami ada peluang untuk mencipta kejutan dengan memenangi pingat emas.”
Aksi seterusnya pada Selasa bakal menemukan Malaysia dan Vietnam manakala Thailand pula berdepan Laos.
Bolasepak 5-sebelah di Para ASEAN KL 2017 akan berlangsung secara Round Robin dengan dua pasukan teratas akan berentap semula untuk menentukan pemenang pingat emas, manakala dua lagi pasukan akan bersaing bagi merebut pingat gangsa.