Meskipun Liga Malaysia masih belum dibenarkan untuk bersambung, namun ada sedikit perkhabaran gembira buat pemain dan barisan kejurulatihan selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kebenaran untuk menjalani sesi latihan.
Bukan sahaja bolasepak, kebenaran untuk menjalani sesi latihan turut melibatkan semua sukan berpasukan dan sukan tempur.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan sesi latihan tidak melibatkan sentuhan badan dengan penjarakkan sosial tiga hingga lima meter.
Beliau juga mengingatkan terutama kepada sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi dan bola jaring serta sukan tempur seperti karate, taekwondo dan silat masih tidak dibenarkan dimainkan secara ‘match play’.
Ketika bercakap di sidang media di Menara KBS, pendekatan ini hampir sama seperti yang telah dilakukan oleh liga bolasepak antarabangsa yang menjadi sesi latihan secara tidak bersentuhan sebagai fasa pertama.
Namun prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah kelulusan yang diberi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi fasa seterusnya, terutama sesi latihan penuh termasuk yang melibatkan sentuhan perlu diuruskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang perlu memohon kepada MKN dengan menggunakan pendekatan konsep program ‘Road to Tokyo’ iaitu ‘quarantine based’ bagi menjamin keselamatan atlet, jurulatih serta pegawai bertugas.
Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata sukan permotoran masih tidak dibenarkan untuk menganjur kejohanan dan pertandingan bagi mengelakkan daripada himpunan orang ramai namun ‘track day’ bagi sukan permotoran dua roda dan empat roda dibenarkan untuk pengujian kenderaan.
Sidang Media Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican:
Pembukaan Sektor Sukan dan Rekreasi Fasa 2