Indonesia menamatkan langkahan sensasi mereka dalam saingan bolasepak Celebral Palsy (CP) di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan penuh bergaya.
Skuad bimbingan Fadilah Umar itu mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas dengan menewaskan juara bertahan Thailand 3-0 dalam aksi final yang berlangsung Jumaat sekaligus memperbaiki pencapaian menduduki tangga tercorot di Para ASEAN 2015.
Perlawanan final yang berlangsung di Padang C Majlis Sukan Negara itu menyaksikan Indonesia yang tampil unggul sejak dari aksi kumpulan mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Muhaimi Yahya pada minit ke-18 dan Cahyana di minit akhir separuh masa pertama.
Muhaimi melengkapkan kemenangan 3-0 buat Indonesia apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada masa kecederaan.
Sementara itu, tuan rumah Malaysia pula memenangi pingat gangsa setelah menjinakkan Singapura 4-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama.
Pasukan negara kendalian Asnan Md Zuki yang tewas di separuh akhir setelah memberi tentangan kepada Thailand, bangkit melupakan kekecewaan itu dan tampil dengan permainan bertenaga sejak daro sepak mula.
Khairi Ismail membuka tirai jaringan pada minit ke-10 sebelum ketua pasukan Sobri Ghazali menggandakan kelebihan dua minit selepas itu.
Farisan Jasnal menjadikan kedudukan 3-0 sebelum berakhir separuh masa pertama dan Sobri meledak gol kedua peribadinya untuk melengkapkan kemenangan buat Malaysia.
Apa kata mereka :
Fadilah Umar (jurulatih Indonesia) : Kami datang sebagai bukan pilihan dan tanpa sebarang tekanan, ini membantu pemain untuk memberi tumpuan sepenuhnya. Apa yang mereka lakukan sejak dari perlawanan pertama adalah bermain mengikut arahan dan taktikal yang dirancang. Mereka bersemangat tinggi untuk menebus kecewa dua tahun lalu dan ianya satu yang luar biasa untuk muncul juara dengan menewaskan juara bertahan.
Asnan Md Zuki (jurulatih Malaysia) : Pemain melaksanakan tugas dengan baik dan selepas kekalahan semalam, mereka tidak rela lagi berputih mata menamatkan temasya dengan tangan kosong. Sebab itu mereka bermain bersungguh-sungguh demi mendapatkan pingat. Ia bukan mudah untuk bangkit selepas kecewa kepada Thailand, kita guna khidmat pakar dari Institut Sukan Negara serta melalui beberapa sesi motivasi dan tayangan video untuk mendapatkan keyakinan dan memulihkan semangat juang mereka. Alhamdulillah ia memberi hasil.