Thailand berada dalam landasan untuk mempertahankan pingat emas bolasepak Celebral Palsy (CP) setelah melangkah ke perlawanan akhir Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 dengan menewaskan Malaysia 3-2.
Dalam aksi separuh akhir penuh dramatik di Padang C Majlis Sukan Negara, jaringan pada minit kesembilan masa tambahan oleh Suksang Sanya mengesahkan kemenangan buat Thailand.
Kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sebelum itu dengan Malaysia dua kali mendahului menerusi jaringan Khairi Ismail pada minit ke-16 dan jaringan sendiri Thaohang Narongchai pada minit ke-39.
Thailand bimbingan Bongkoch Jansukwong pula membalas menerusi dua gol Wanna Nattapong pada minit ke-27 dan 56.
Lawan Thailand di final adalah Indonesia yang meneruskan sensasi mereka di Para KL 2017 dengan menewaskan Singapura 6-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Cahyana menjaringkan hatrik pada minit pertama, keempat dan 40, diikuti jaringan Yuliarsi Ahmad dan kemudiannya Muhaimi Yahya melengkapkan kemenangan 6-0 buat Indonesia.
Ini akan menjadi perlawanan kedua antara Indonesia dan Thailand setelah kedua-duanya turut bertemu dalam aksi Kumpulan B yang menyaksikan Indonesia menang 2-1.
Malaysia dan Singapura pula akan berentap bagi menentukan pemenang pingat gangsa. Dalam aksi Kumpulan A sebelum ini, Malaysia menewaskan Singapura 5-3.
Untuk rekod, dua tahun lalu di Singapura, Thailand menang emas dengan menewaskan Myanmar manakala Singapura meraih gangsa dengan menewaskan Malaysia.
Apa kata mereka :
Bongkoch Jansukwong (jurulatih Thailand) : Sejak awal keyakinan kami memang tinggi, memang sasaran kami mahu kekalkan emas dan kami hanya selangkah sahaja lagi untuk lakukannya. Saya percaya pemain semakin bersemangat menantikan aksi final, saya percaya kami ada kualiti untuk sekat Indonesia.