Fazly Mazlan

Dua minggu lalu, ketika Tan Cheng Hoe mengumumkan nama bek kiri, Fazly Mazlan dalam senarai panggilan ke kem kebangsaan, ia disusuli kritikan hebat. Ramai yang mempersoal pemilihannya dan mengatakan pemain itu tidak layak dipanggil.

Timbul cakap-cakap mengatakan pemilihan pemain itu adalah berdasarkan kepada prestasi lampau apatah lagi dia tidak mendapat tempat di pasukannya sendiri Johor Darul Takzim setelah kehadiran La’Vere Corbin Ong sehingga akhirnya ‘ditolak’ bermain bersama JDT II yang kini menghuni tangga tercorot Liga Premier.

Ketika itu juga, ramai mempertikai mana hilangnya nama-nama seperti Nazirul Naim Che Hashim (gambar utama) dan Qayyum Marjoni Sabil yang sedang menunjukkan prestasi yang baik dan lebih penting bermain setiap perlawanan dalam liga.

Selepas seri 2-2 menentang Mongolia pada Khamis, Cheng Hoe membuat keputusan drastik, untuk mendengar rungutan dan keluhan penyokong dengan menghantar pulang Fazly yang diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Mongolia.

Bukan hanya Fazly, Corbin yang tidak bermain juga dihantar pulang, mereka berdua adalah antara 14 pemain JDT yang digugurkan Cheng Hoe bagi aksi seterusnya menentang Lubnan dalam kelayakan Piala Asia 2019.

Sebagai pengganti, Nazirul yang juga bekas anggota skuad B-23 kebangsaan dipanggil, bermakna Cheng Hoe kini mempunyai 1 + 2 pilihan pemain untuk bermain di pertahanan kiri iaitu termasuk Ariff Farhan Mohd Isa (Kedah) dan Syazwan Andik Ishak (Kuala Lumpur).

Keluhan sudah dipenuhi, peluang sudah tersedia, adakah bekas pelatih Ryukyu FC ini dapat memecah masuk ke dalam kesebelasan seterusnya membuktikan kepada semua, bahawa sememangnya dia layak menggantikan tempat Fazly? Bolehkah pemain ini memenangi hati penyokong dan membuktikan pemilihannya adalah tepat?

Ditanya soalan ini kepada tuan badan, jelas tonggak pertahanan Perak ini tampak sudah bersedia.

“Sebenarnya agak terkejut, saya dapat panggilan pada subuh (Jumaat) untuk menyertai skuad kebangsaan pada tengah hari. Saya baru balik dari bercuti dan baru sehari kembali menjalani latihan bersama Perak, mungkin ini adalah rezeki saya.

“Saya tiada masalah untuk memberi komitmen, semua pemain mahu menyarung jersi negara, saya sentiasa bersedia untuk berikan khidmat apabila diperlukan. Saya tidak mahu bandingkan diri saya dengan sesiapa, siapa lebih bagus atau sebagainya. Setiap pemain ada kelebihan mereka, yang penting saya hanya fokus untuk tingkatkan prestasi sendiri dan memberi yang terbaik,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -