Pencapaian atlet powerlifting negara, Bonnie Anak Bunyau berjaya meletakkan namanya dalam senarai empat atlet popular untuk merebut trofi Atlet Terbaik Para di majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019 yang akan berlangsung pada 1 September 2020 di Dewan Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Memulakan kariernya sebagai atlet di awal usia 15 tahun, atlet kelahiran Sarawak itu menongkah arus tanpa rasa jemu dan putus asa menyaksikan namanya kini terukir sebagai salah satu jaguh terbaik dunia.
Tanggal 15 Julai 2019 menjadi detik paling manis buat atlet berusia 20 tahun ini apabila menaiki podium selaku juara di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan, Kazakhstan dua kali berturut-turut.
Pingat emas pertama diperoleh dalam kategori remaja 65 kilogram sebelum Bonnie mengejutkan jaguh dunia yang lebih berpengalaman termasuk juara dunia, Paul Kehinde apabila melakukan angkatan 207kg dalam kategori yang sama sekaligus dinobat selaku juara.
Pengerusi Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019, Faisal Jamal berharap pencalonan Bonnie Anak Bunyau dan calon-calon lain menjadi penyuntik semangat buat semua atlet para negara untuk menggapai kejayaan yang lebih cemerlang.
“Dengan pencapaian yang telah dilakar oleh atlet para negara, kami berharap usaha keras mereka dan perancangan yang efisien daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan menghasilkan lebih ramai atlet para negara yang berjaya mengesahkan slot ke sukan Olimpik,” katanya.
Bonnie bakal dicabar dua atlet memanah para negara, S. Suresh dan Wiro Julin serta jaguh lontar peluru, Mohd Ziyad Zolkefli.
Suresh merupakan pemanah recurve negara dengan pencapaian terbaik atlet berusia 26 tahun itu memenangi pingat emas di kejohanan Memanah Para Dunia 2019 yang berlangsung di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.
Ia adalah podium keduanya apabila dinobat sebagai naib juara di kejohanan Memanah Ranking Dunia Fazza yang berlangsung di Dubai pada Mei.
Kejayaan itu sekali gus meletakkan Suresh sebagai atlet para negara yang layak beraksi di sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Kem memanah para negara boleh dianggap antara yang terbaik selepas berjaya mengesahkan satu lagi slot merit ke Paralimpik Tokyo 2020.
Meskipun masih baharu dalam arena sukan para negara, Wiro Julin membuktikan beliau adalah permata atlet para negara apabila muncul naib juara di Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Thailand pada Oktober 2019 dalam acara compound sekali gus mengiringi Suresh ke Tokyo Julai tahun depan.
Jaguh lontar peluru, Mohd Ziyad Zolkefli juga antara atlet para yang menyinar pada 2019 selepas menaiki podium selaku pemenang pingat perak di temasya dwitahunan Sukan SEA ke 30, di Manila, Filipina Disember tahun lalu.
Pemenang anugerah ini akan menerima hadiah wang tunai RM 10 000 dan trofi.
SAM memperkenalkan Anugerah Atlet Para Terbaik bermula 2016 yang dimenangi jaguh pecut, Mohd Ridzuan Mohd Puzi.
Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2019 akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang sepanjang 2019, wartawan sukan juga turut menerima pengiktirafan sekali gus berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000 pada majlis Anugerah SAM-100PLUS kali ini.
Anugerah di bahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 berserta trofi.
SENARAI ATLET TERBAIK SAM:
1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1997 – Nurul Huda Baharin (menembak)
1998 – Lim KengLiat (renang)
1999-2001 – TiadaAnugerah
2002 – Lim Keng Liat (renang) danS.Premila (karate-do)
2003 – Lim Keng Liat (renang)
2004 – Bryan Nikson Lomas (terjun)
2005 – Nicol Ann David (skuasy)
2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)
2007 – Wong Mew Choo (badminton)
2008 – Lee Chong Wei (badminton)
2009 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal)
2010 – Pandelela Rinong (terjun)
2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)
2012 – Pandelela Rinong (terjun)
2013 – Sazali Samad (binabadan)
2014 – Nicol Ann David (skuasy)
2015 – Pandelela Rinong (terjun)
2016 – Lee Chong Wei (badminton)
2017 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2018 – Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling
ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:
2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)
2018 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)