KANGAR – Perak akhirnya menebus kekecewaan tewas di final acara bola sepak di Sukan Malaysia dua tahun lalu apabila menewaskan Johor 3 – 1 untuk mengulangi kejayaan 2002 di Sabah.
Beraksi di hadapan kira-kira 7 ribu penyokong di Stadium Tuanku Syed Putra, Johor terlebih dahulu menguji kecekapan penjaga gol Perak, Mohd Hafizul Hakim tetapi rembatan Shafiq Shaharudin tepat kedakapannya pada minit ke 5.
2 minit kemudian, berpunca dari rembatan deras Mohd Fikri Sudin, Mohd Shahrel Fikri pantas menyambar bola muntah dari penjaga gawang Johor, Mohd Syafizullah Abdul Wahab untuk memberikan gol pendahuluan kepada Perak.
Naib juara SUKMA 2 tahun lalu itu hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan kedudukan. Kesilapan penjaga gol Johor sekali lagi di hukum ketajaman penyudah Perak, kali ini giliran penyerang berbisa, Khairul Asyraf Sahizah menyambar peluang terhidang untuk gol ke 5 peribadinya di SUKMA ke 17 ini.
Aksi longlai pemain-pemain Johor hampir dihukum lagi pada minit ke 24 tetapi tandukkan Khairul Asyraf sekadar singgah di tiang gol ketika Mohd Syafizullah sudah tertewas.
Johor cuba bangkit dengan beberapa asakkan ke kubu lawan, namun ketumpulan gandingan hadapan mereka yang ditunjangi Shafiq Shahrudin dan Mohd Akmal Ishak menyaksikan Johor terus buntu untuk merapatkan kedudukan.
Babak kedua, Perak memperlahankan rentak permainan tetapi sesekali serangan mereka ke gawang Johor hampir membuahkan hasil.
Peluang terbuka pada minit ke 59 bagaimanapun gagal disempurnakan Mohd Sharel Fikri walaupun penjaga gawang Johor telah terbuka luas, namun bola hanya singgah di tiang kanan gol Harimau Selatan.
Tersentak dnegan ancaman Perak, Johor kembali memperkemaskan permainan dan hampir merobek gawang Perak tetapi Mohd Hafizul tangkas menampan percubaan Mohd Asyraf Abdul Talib pada minit ke 75.
Kesilapan Mohd Firdaus Saidi menjatuhkan Naim Nazmi Zainuddin pada minit ke 77 menyaksikan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Johor. Shafiq Shahrudin tenang menjadikan kedudukan 1 – 2.
Gol tersebut jelas menyuntik semangat pemain-pemain Johor tetapi dua peluang yang mereka miliki menerusi percubaan adik beradik , Shahwan Shaharudin dan Shafiq Shahrudin berjaya dinafikan penjaga gol Perak.
Ketika Johor asyik memburu gol penyamaan, serangan balas pantas Perak di sebelah kiri yang dimulakan Mohd Hafiz Ramdan, disudahkan dengan baik oleh Mohd Sharel Fikri untuk memastikan pingat emas milik Bos Gaurus dengan kemenangan 3 – 1.
Ini merupakan kejayaan kedua buat Perak di SUKMA setelah melakukannya 12 tahun lalu, manakala Johor terpaksa berputih mata meskipun telah 3 kali mara ke peringkat akhir acara bola sepak sejak 1986.