Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Brad Maloney tidak resah dengan ketiadaan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang akan berlepas ke Belgium untuk menyertai kelan KV Kortrijk.

Ia seharusnya menjadi pembakar semangat buat Luqman Hakim untuk mengembangkan kariernya dalam bolasepak malah Maloney turut mengesahkan pemain berusia 18 tahun itu akan dibenarkan untuk menyertai kem negara sebelum Kejuaraan B19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bermula.

Dalam pada itu, 34 pemain telah hadir melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini bagi persiapan awal menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

17 pemain menjalani ujian calitan (swab test) Covid 19 sementara baki pemain lain sudah pun melakukan ujian tersebut bersama kelab masing-masing sebelum ini.

Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal pula hanya akan menyusul kemudian untuk menyertai pasukan sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.

KOMEN KETUA JURULATIH B19 BRAD MALONEY

Fokus utama Brad Maloney adalah mencari semula kecergasan dan memberi ruang kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan bolasepak selepas lebih tiga bulan tidak menjalani latihan di padang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac lalu.

Tidak banyak perancangan yang mampu dilakukan ketika ini termasuk perjalanan untuk menjalani kem latihan di luar negara, namun perbincangan akan terus dilakukan dengan pengurusan FAM untuk memgetahui perkembangan semasa.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama sama Qatar, Tajikistan dan Yemen dan akan memulakan aksi pembukaan kumpulan menentang Tajikistan pada 16 Oktober diikuti Qatar tiga hari kemudian sebelum menutup saingan kumpulan D menentang Yemen pada 22 Oktober.

 

- Advertisement -