Pemain tengah Selangor, Brendan Gan mengharapkan tuah memihak kepadanya untuk memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual selepas tercalon buat kali ketiga.

Brendan melahirkan rasa gembira apabila tercalon sekali lagi, kali ini bersama pasukan Selangor sambil menyifatkan rakan pasukan banyak membantu dalam setiap perlawanan mengharungi musim 2021.

Belum pernah berjaya untuk mengungguli kategori tersebut, bekas pemain Perak ini berharap usaha kerasnya pada musim ini mampu membuahkan hasil untuk menamatkan penantian sejak tercalon pada ABK edisi 2017.

“Semestinya satu perasaan teruja apabila kali ini tercalon sekali lagi bersama-sama calon lain yang sememangnya kita tahu mempunyai nama besar dalam Liga Malaysia.

“Saya tetap percaya dan berpegang kepada prinsip bahawa usaha yang keras akan membuahkan hasil yang lumayan dan sejak tercalon pada edisi sebelum ini sehingga sekarang membuatkan saya sentiasa ingin melakukan yang lebih baik setiap tahun.

“Untuk itu, saya hanya mengharapkan yang terbaik untuk ABK kali ini dan dengan tercalonnya pada edisi ini buat kali ketiga membuktikan saya di hala tuju yang tepat untuk terus mencapai prestasi terbaik kepada pasukan,” jelasnya.

Brendan bersaing bersama sembilan lagi calon lain iaitu Safawi Rasid yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail (JDT), Faisal Abd Halim (Pahang), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (Terengganu FC), Nor Azam Abdul Azih (Pahang), dan Syahmi Safari (Selangor).

Dalam pada itu, tonggak pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak pula menyifatkan Shahrul Saad merupakan calon paling layak untuk memenangi kategori Pertahanan Terbaik tahun ini.

Aidil yang tidak tercalon pada tahun lalu nyata melahirkan rasa gembira apabila kali ini dicalonkan, namun secara peribadi merasakan Shahrul selaku pemenang pada tahun lalu mampu mengekalkan status Pertahanan Terbaik kali ini berdasarkan pencapaiannya sebagai kapten pasukan Perak untuk menamatkan musim 2021 di tangga ke-4 CIMB Liga Super 2020.

“Saya secara peribadi rasa Shahrul layak untuk menang lagi sekali pada tahun ini, tetapi macam-macam mana pun saya tetap berpuas hati dan bersyukur apabila tercalon kali ini.

“Saya tidaklah letak harapan yang tinggi sangat, dan saya sebelum ini pun pernah merasai kemenangan beberapa kali, jadi kita tunggu dan lihat sahaja siapa yang betul-betul layak untuk menang.

“Yang penting, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang telah membuat undian sebelum ini dan kepada mereka yang mengundi saya, saya tidak akan lupa sampai bila-bila sokongan yang diberikan ini”, katanya.

Aidil merupakan pemenang paling banyak bagi kategori Pertahanan Terbaik apabila telah mengungguli kategori tersebut sebanyak empat kali iaitu pada 2009, 2010, 2012 dan 2015.

Calon lain yang bakal merebut gelaran Pertahanan Terbaik pada tahun ini adalah Azmi Muslim (Pulau Pinang), Corbin Ong (JDT), Matthew Davies (JDT), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Shakir Hamzah (Kedah), Victor Nirennold (UiTM FC) dan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (Melaka).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian yang telah dibuka kepada semua penyokong pada Isnin lalu (21 Disember 2020) jam 10 pagi telah pun berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Keputusan semua pemenang akan diketahui majlis yang akan berlangsung secara virtual pada 30 Disember 2020 (Rabu) .

- Advertisement -