Teka-teki mengenai halatuju pemain berdarah kacukan Malaysia – Australia, Brendan Gan terjawab setelah pemain itu membuat keputusan menyarung jersi skuad Liga Super Perak bagi saingan musim baru Liga Malaysia.
Brendan yang mencipta nama bersama Kelantan – mewakili pasukan itu selama tiga musim dari 2014 mengharungi karier dibelenggu kecederaan selama hampir dua musim, menyaksikannya tersisih untuk sepanjang tahun 2017.
Sekembalinya dari kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), bekas pemain Sydney FC itu dikaitkan dengan beberapa pasukan, antaranya Sarawak, Felda United, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur serta bekas pasukannya Kelantan namun dalam diam ianya Perak yang berjaya memancing khidmatnya.
Pemain berusia 28 tahun diperkenalkan sebagai seorang dari tiga muka baru skuad The Bos Gaurus bagi musim 2018 oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Puhat Mat Nayan pada Rabu, selain Norhakim Hassan (T-Team) dan Rafiuddin Rodin dari Pulau Pinang.
Selebihnya, skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu mengekalkan sebahagian besar tonggak yang memacu kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia tahun ini antaranya Hafizul Hakim Khairul Nizam, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Khairul Amri Salehuddin, Shahrul Saad, Nasir Basharuddin, D.Kenny Palraj, Nazrin Nawi, Ahmad Khairil Anuar Zamri dan Hafiz Kamal.
Selain itu, pemain skuad B-22 kebangsaan, Syazwan Zaipol Bahari yang beraksi secara pinjaman dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC musim ini turut kembali memperkuatkan sang seladang manakala Rafiq Faeez Fuad, Rizal Che Aziz dan Nasrullah Abdul Aziz diserap dari skuad Piala Presiden.
PAFA hanya mengekalkan dua daripada empat import mereka iaitu Leandro Dos Santos Oliveira dan penyerang Gilmar Filho da Silva tatkala mereka sedang berusaha mendapatkan tiga lagi pemain untuk memenuhi kuota pemain import.
Pasukan itu sebelum sudahpun melepaskan Zaquan Adha Abdul Razak yang menyertai Kuala Lumpur sementara ketua pasukan Shahrom Kalam juga dikaitkan dengan skuad warga kota itu.
Perak menamatkan saingan liga 2017 di kedudukan kelima, kandas di pusingan ketiga Piala FA dan tewas kepada Johor Darul Takzim di separuh akhir Piala Malaysia. Lebih menarik mereka kekal satu-satunya pasukan tidak pernah tersingkir beraksi di Liga Premier secara merit sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004.OLEH MUHD AIMAN