hadin.azman
Hadin

Oleh Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim (JDT) mungkin mempunyai segala keistimewaan, gaji lumayan yang ditawarkan boleh menarik minat siapa sahaja pemain untuk beraksi dengan mereka, tetapi bukan bekas pemainnya Muhammad Hadin Azman.  

Pada ketika arena bolasepak tanah air sedang hangat dengan berita mengenai pemain yang sanggup berulang kali merayu dan memohon menebus kontrak sendiri agar mendapat pelepasan beraksi bersama pasukan itu, lain pula ceritanya dengan Hadin yang memilih untuk kekal bersama Felda United di sebalik minat yang ditunjukkan JDT.

Dua tahun selepas ditamatkan kontrak oleh JDT atas masalah disiplin, Hadin mengangkat namanya sebagai antara pemain muda paling menonjol dalam saingan Liga Malaysia musim ini dan ia sudah cukup untuk memikat perhatian bekas majikannya itu.

Begitupun pemain berusia 22 tahun itu menyatakan semua ini tidak mungkin terjadi seandainya bukan kerana budi jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan pengurusan Felda United.

“Memang saya ada terima tawaran dari JDT sebelum liga berhenti rehat baru-baru ini, saya agak teruja dengan tawaran itu kerana tidak sangka pasukan itu masih berminat selepas menamatkan kontrak saya dua tahun lalu.

“Saya ada berbincang dengan Irfan mengenai tawaran itu dan beliau tidak menghalang jika saya mahu menyertai mereka walaupun kontrak masih ada sehingga hujung musim ini. Jika difikirkan soal gaji, memang saya sudah menyertai mereka, tetapi selepas fikir masak-masak saya mengambil keputusan tolak tawaran itu. Kerana bagi saya budi yang baik tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.

“Selepas kontrak saya ditamatkan JDT, Irfan memberi peluang untuk saya menyertai Felda. Ketika itu saya rasakan bagai mati hidup semula. Bayangkan dengan isu yang membelenggu saya ketika itu, Irfan masih sudi menawarkan tempat. Beliau membimbing dan memberi saya peluang bermain sehingga mencapai tahap sekarang.

“Saya anggap Irfan  dan Felda sebagai penyelamat karier dan saya sangat terhutang budi pada mereka. Saya ingin membalas budi mereka dan saya mahu membantu pasukan ini memenangi sekurang-kurangnya satu piala,” katanya.

Hadin bagaimanapun tidak menolak kesediaan untuk berpindah selepas kontraknya bersama Felda tamat, sekiranya masih ada pasukan lain termasuk JDT sendiri berminat mendapatkan khidmatnya.

Untuk rekod, Hadin menjaringkan sebanyak lima gol dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.

- Advertisement -