Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor John Paul menyambut baik pembaharuan yang cuba dilakukan Malaysian Football League (MFL) dalam usaha meningkatkan kualiti Liga Malaysia.
Antara usaha MFL ketika ini adalah untuk melahirkan pengadil profesional menerusi penubuhan badan bebas Profesional Match Officials Malaysia (PMOM) serta mahu melaksanakan kawalan ekonomi seperti La Liga dalam membantu pasukan memantapkan pengurusan kewangan.
Bagaimanapun Windsor percaya langkah itu perlu dilakukan dengan serius bukan saja oleh MFL malah semua pasukan bagi memastikan ia berjaya mencapai matlamat.
“Satu usaha yang baik bila ada perubahan atau penambahbaikan dibuat tapi ia harus dilakukan lebih serius dan perancangan teliti. Saya fikir bila sesuatu keputusan diambil oleh MFL, ia pasti sudah dikaji dan mengambil kira pandangan semua pihak yang terbabit. Semua pihak perlu main peranan bukan MFL saja,” katanya.
Menerusi penubuhan PMOM yang dicetuskan menerusi modul Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) yang mengendalikan pengadil Liga Perdana Inggeris, MFL bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengorak langkah untuk meningkatkan kualiti pengadil Malaysia yang kerap menjadi pertikaian ramai pihak.
Bukan itu saja, isu tunggakan gaji yang terus membelenggu beberapa pasukan tempatan dipandang serius oleh MFL yang bersedia menggunakan pendekatan La Liga menerusi sistem kawalan ekonomi yang terbukti berjaya melangsaikan hutang kelab-kelab Sepanyol dalam tempoh lima tahun sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) sejak diperkenalkan pada 2012.
Justeru, Windsor tidak bersetuju jika Liga Malaysia bertaraf profesional kembali ke amatur sedangkan MFL sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kualiti liga.
“Semua orang mahu ke depan, mahu menjadi profesional, takkan Malaysia nak patah balik ke belakang (amatur). Untuk menjadi profesional, pemikiran kita juga kena profesional.
“Untuk menjadi profesional, banyak aspek di ambil kira dari segi pengurusan, infrastruktur, pembangunan bukan hanya dikira kejayaan pasukan saja.
“Bila ada masalah, kita kena cari jalan penyelesaian. Ambil contoh kalau kita ambil peperiksaan kalau gagal, kita cari jalan untuk atasi masalah itu, pergi tuisyen ke, tak kan kita nak patah balik masuk tadika semula.
“Ia satu proses dan mengambil masa tapi apa yang penting semua pihak kena serius,” katanya. MUHD AIMANÂ